Tular sebuah video baru-baru ini yang memaparkan sekumpulan mangsa banjir di Taman Sri Muda Shah Alam bertindak memecah masuk beberapa buah kedai serbaneka.

Difahamkan, perbuatan itu dibuat akibat terdesak selepas kebanyakan mereka dipercayai kehabisan bekalan makanan akibat terkandas dalam banjir selama dua hari.

Pihak polis juga mengesahkan bahawa berlaku beberapa kejadian pecah masuk ke kedai serbaneka di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam yang kini sedang mengalami banjir teruk.

Terbaru, satu daripada pihak pengurusan pasar raya yang dipecah masuk itu tampil memberikan kenyataan rasmi.

Menurut Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) Datuk Wira (Dr.) Haji Ameer Ali Mydin, pihaknya amat tersentuh dan simpati dengan insiden bencana banjir teruk yang melanda.

Menurutnya, cawangan MYDIN Mart Sri Muda, Shah Alam, Selangor turut musnah akibat banjir pada 18 Disember 2021 (Sabtu) dan mengakibatkan kerugian melebihi jutaan ringgit.

“Saya turut ingin memberi maklum balas mengenai inside pecah masuk ke premis MYDIN Mart tersebut yang hangat dibincangkan di media sosial, media tempatan dan sebagainya.

“Sejujurnya, saya tidak menyokong perbuatan mencuri tersebut, namun dalam keadaan darurat, mungkin mereka tiada pilihan dan terpaksa melakukan perbuatan tersebut demi kelangsungan hidup.

“Dengan seikhlas hati, saya menghalalkan mereka yang melakukan perbuatan tersebut dengan nit meneruskan kelangsungan hidup akibat bantuan yang tiba lambat dan bukan dengan niat yang sebaliknya,” katanya.