"Saya Tak Tahu Pun... Terkejut Tapi Memang Betul-Betul Puas!" - Alif Satar

Kamaruddin Razal
Jun 28, 2018 02:12 MYT
Penyanyi Alif Satar mengakui terkejut apabila namanya dinobatkan sebagai pemenang trofi BOH Cameronian Arts Awards 2018 yang diadakan baru-baru ini.
Alif membawa pulang trofi Pelakon Utama Terbaik menerusi lakonannya dalam Dia Semanis Honey The Musical.
"Saya terkejut apabila nama saya diumumkan untuk memenangi anugerah tersebut. Saingan saya sangat hebat dan mempunyai pengalaman yang meluas dalam bidang seni persembahan.
"Alhamdulillah, saya rasa sangat bersyukur kerana hasil kerja saya mendapat pengiktirafan," kata Alif.
Tambah penyanyi lagu Jangan Nakal ini, dia sendiri tidak tahu hasil lakonannya diadili oleh juri.
"Saya langsung tak tahu pun ada orang yang sedang menilai persembahan saya dalam teater tersebut. Selepas saya dapat tahu nama saya dicalonkan, saya menghubungi pihak produksi.
"Mereka mengakui ada juri yang datang menilai persembahan teater kami ketika ia sedang dipentaskan tetapi perkara tersebut tidak diketahui oleh semua pihak.
"Saya terkejut tapi memang betul-betul puas apabila dapat meraih anugerah ini. Syukur, saya anggap ini rezeki dan menjadikan ia pembakar semangat untuk berkarya dengan lebih baik di masa akan datang," katanya lagi.
Alif ditemui di sidang media Senang Jer Menang anjuran Power Root yang dianjurkan semalam.
Alif yang bertindak sebagai duta Alicafe hadir bersama Pengerusi Power Root Marketing Sdn Bhd, Datuk Afifuddin Abdul Kadir untuk menyampaikan hadiah kepada pemenang Peraduan Senang Jer Menang setakat bulan Jun anjuran Power Root.
Pemenang berjaya membawa pulang hadiah wang tunai misteri dalam setiap pek produk Power Root.
Orang ramai masih lagi berpeluang menang kerana pertandingan ini akan berakhir 31 Oktober depan.
Teks: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Alif, PaMa, AlicafeMY.
#pelakon #Alif Satar #Pelakon