Pelakon dan anggota kumpulan K-Clique, Noki sanggup mengecilkan saiz badannya yang terkenal dengan otot-otot kekar untuk menerima lebih banyak tawaran lakonan.

Menurut Noki atau nama sebenarnya Ahmad Ikhwan Aji, dia gembira dengan perubahan badannya yang semakin susut untuk menyesuaikan diri berlakon dalam filem pertamanya, War On Peace.

“Saya kecilkan badan sekarang sebab ada yang cakap saya terlalu besar untuk kemunculan di kaca TV. Macam badan dulu, saya siapkan badan antara 80 hingga 90 kg,nampak lagi besar dan lebar bila keluar TV. Ramai cakap saya besar sangat jadi saya memilih untuk kecilkan badan sikit.

“Alhamdulillah lepas saya kecilkan badan, ia bukan sahaja beri kebaikan pada kerjaya saya tapi keyakinan diri saya juga meningkat. Tahun-tahun lepas saya bulat macam penyu tapi lepas buat badan, boost keyakinan saya.

“Apa yang saya amalkan sekarang, bukanlah tak cukup makan cuma saya mengambil makanan yang sihat sahaja dan saya buat kardio setiap hari,” katanya kepada Gempak.

Noki ditemui pada majlis sidang media dan doa selamat filem War On Peace yang diadakan di Shah Alam, Selangor pada Jumaat.

Tambah Noki lagi, dia cukup teruja untuk memegang watak sebagai seorang anggota polis dalam filem kepolisan yang baharu sahaja menjalani penggambaran.

“Sesi latihan agak berat dimana kami berlatih selama empat hari seperti cara memegang senjata, ujian ketahanan dan sebagainya.

“Pengalaman berlatih bersama barisan pelakon lain tu memang sangat best. Insyallah dapat berlakon filem pertama ni pun, tekanan tu memang ada tapi saya yakin saya boleh buat,” jelasnya lagi.

Selain Noki, filem arahan Kroll Azry itu turut diterajui pelakon hebat seperti Aedy Ashraf, Farali Khan, Qi Razali dan ramai lagi.