Pelakon yang sedang meningkat naik, Nafiz Muaz mendedahkan bahawa dirinya pernah menerima tawaran untuk menyambung pengajian dalam bidang kulinari di sebuah kolej di London selepas tamat persekolahan.

Bagaimanapun, pelakon berusia 21 tahun itu berkata, hasratnya untuk mendalami dunia masakan itu terpaksa dilupakan demi membantu ibu menyara kehidupan keluarganya.

“Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia, saya ada menerima tawaran untuk menyambung pengajian di London.

“Saya memang suka memasak, sebab itulah saya pilih untuk mengikuti bidang kulinari.

“Bagaimanapun, akhirnya saya terpaksa pilih untuk terus bekerja. Lagipun ayah saya sudah tiada, jadi susahlah sedikit siapa mahu menjaga keluarga nanti. Maka, saya pilih untuk berlakon. Biarlah saya ‘belajar’ dalam industri pula,” katanya kepada Gempak.

Menurut pelakon drama Cinta Belum Tamat Tempoh itu, dia mempunyai kepakaran dalam menyediakan juadah kari kepala ikan.

“Sekarang ini, kalau nak masak setiap hari memang tak sempat, saya banyak makan di luar sahaja.

“Kari kepala ikan memang merupakan makanan kegemaran saya. Kalau saya balik kampung, saya akan masak,” kata anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu.

Biarpun terpaksa melupakan hasrat menyambung pengajian dalam bidang kulinari, Nafiz tetap bersyukur kerana industri lakonan kini menjadi ‘dewan kuliah’ buat dirinya.