“Saya Terpaksa Tahan Nafas Lama”- Kamal Adli Berendam 8 Jam Dalam Air
Syafiqah Jalal
15/06/2021 13:39 MYT
15/06/2021 13:39 MYT
Pelakon Kamal Adli mendedahkan dia berdepan cabaran yang tinggi ketika menjayakan salah satu babak lagak ngeri dalam penggambaran drama bersiri adaptasi Black untuk musim kedua.
Menurut Kamal dalam penggambaran itu dia perlu berendam dan menyelam di dalam air selama lapan jam.
“Saya perlu menjalani penggambaran untuk satu babak berada dalam air sehingga dua hari.
“Babak berkenaan agak mencabar dan memerlukan saya berendam selama sekitar lapan jam. Saya perlu berada di dalam satu tank yang dalam dan saya cuba tahan nafas yang lama untuk mendapatkan shot yang menarik dan memuaskan.
“Namun tak sangka pula babak itu ditayangkan hanya 2 minit sahaja di awal episode pertama.
“Walau bagaimana pun, saya puas kerana merupakan satu pengalaman baharu buat saya,” katanya kepada media.
Kamal berkongsi pengalamannya itu menerusi satu sesi temu bual virtual bersama media baru-baru ini.
Dalam pada itu, Kamal juga turut memberitahu dia tidak perlu banyak bertukar pakaian memandangkan watak yang digalas, iaitu Black hanya perlu mengenakan sut hitam sahaja.
“Buat pertama kali untuk drama ini, sepanjang penggambaran, saya memang tidak perlu bertukar pakaian, hanya pakai sut hitam untuk hampir kesemua babak. Sangat memudahkan kerja.
“Jadi pihak produksi hanya menyediakan tiga set sut hitam untuk saya dan ia akan dicuci setiap hari,” katanya lagi.
Selain Kamal, drama yang diterbitkan oleh Independent Pictures dan diarahkan oleh Ghaz Abu Bakar serta Sein Qudsi, itu turut menampilkan para pelakon hebat seperti Siti Saleha, Nabila Huda, Khir Rahman, Zoey Rahman dan Pablo Amirul.
Episod pertama Black musim kedua boleh distrim menerusi platform Viu, dengan dua episod baharu disiarkan setiap hari Khamis, mulai 10 Jun 2021.