Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!
Berita

"Saya Tidak Pernah ‘Demand’ Nak Berlakon Dengan Sesiapa" - Mira Filzah

Rozaimi Zubaidi 01/10/2018 | 11:10 MYT
Pelakon Mira Filzah mengakui tidak pernah meletakkan syarat untuk bergandingan dengan mana-mana hero sebelum menerima sebarang tawaran lakonan.
Menurut Mira, sebagai seorang anak seni, dia terbuka untuk digandingkan dengan mana-mana pelakon.
"Siapa saya untuk meletakkan syarat begitu kerana sejak awal lagi, saya tidak pernah memilih untuk digandingkan dengan mana-mana pelakon.
"Saya tidak pernah ‘demand’ nak berlakon dengan sesiapa kerana bagi saya setiap pelakon ada cara kerja tersendiri.
"Apa yang penting bagi saya adalah profesional dan keserasian dalam menghidupkan watak yang diberikan supaya dapat diterima oleh penonton.
"Saya tidak anggap kejayaan sesebuah drama itu disebabkan oleh pelakon sahaja namun ia melibatkan semua pihak termasuk jalan cerita, skrip, pengarah dan pasukan," katanya.
Mira berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana drama Lelaki Kiriman Tuhan, di Ombak Villa, Langkawi, baru-baru ini.
Selain Mira, drama bersiri Lelaki Kiriman Tuhan turut dibintangi oleh Harris Anuar, Remy Ishak, Rozita Che Wan, Kartina Aziz, PU Azman, PU Riz, Jasmin Hamid, Maria Farida dan ramai lagi.
Turut diperkenalkan bintang baru Uyaina Arshad iaitu bekas pengacara Nona, Riana AF, Ali Redza, Hanis Nabeela dan Farah Safwan.
Drama Lelaki Kiriman Tuhan ini akan disiarkan setiap hari Isnin pada pukul 9 malam menerusi saluran Astro Oasis (saluran 106) & Maya HD (saluran 135).
#pelakon #Mira Filzah #Pelakon #Lelaki Kiriman Tuhan
;