Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Saya Tidak Pernah Nak Tempatkan Diri Di Tangga Pertama” - Siti Nurhaliza

Asyikin Mayudin
07/11/2023 09:50 MYT
Tidak pernah melabelkan diri sebagai penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza bagaimanapun menganggap gelaran itu bukanlah sesuatu perkara yang penting.

Menurut Siti Nurhaliza, dia lebih memikirkan tentang kualiti kerja dan persembahan demi membuatkan peminatnya berpuas hati dengan karyanya.

"Dalam diri saya tidak pernah pun nak tempatkan diri saya di tangga pertama dan tidak penting pun.

"Bagi saya, kerja keras, kerja yang berkualiti, peminat berpuas hati dan saya buat orang bahagia itu adalah perkara yang lebih menggembirakan saya," katanya.

Siti Nurhaliza berkongsi mengenai perkara itu dalam satu temu bual bersama media Singapura baru-baru ini.

Pada perkongsian yang sama, Siti Nurhaliza turut berkata, mana-mana penyanyi mampu berada pada tahap yang mereka inginkan dengan pencapaian dan bakat yang dimiliki.

"Saya akui saya tak belajar muzik dan vokal, tak pandai main alat muzik, saya ada rythm dalam diri saya. Aina Abdul, Ernie Zakri, Nadeera Zaini, saya memang kagum dengan kebolehan mereka sebab mereka memang belajar (muzik).

"Sekarang ini sesiapa sahaja boleh berada di tahap yang mereka mahukan. Sama ada nombor satu atau sebagainya," tambahnya.

Terdahulu, kecoh di laman sosial apabila timbul dakwaan mengatakan peminat Aina Abdul mahukan 'takhta' penyanyi nombor satu diberikan kepada penyanyi itu yang sebelum ini dipegang oleh Siti Nurhaliza.

BACA SINI: Siti Nurhaliza Tak Gentar, Hadir Sokong Palestin Di Axiata Bersama 20,000 Rakyat Malaysia


#Siti Nurhaliza #Ernie Zakri #Datuk Seri siti Nurhaliza #Aina Abdul
;