Pendakwah bebas Ustaz Ebit Lew tampil meringakan beban keluarga S Ganesh, 34, isteri, S Parameswary, 32, dan tiga anak mereka yang tinggal di dalam kereta selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran, awal April lalu.

Menerusi laman sosial Facebook, Ebit berkongsi foto bersama keluarga Ganesh yang ditemuinya semalam.



“Menangis sebak semalam masa di Johor Bahru terbaca pasal Ganesh dan isteri Parameswari serta tiga anak kecil tidur lapan bulan dalam kereta je. Sedihnya lapan bulan makan tidur dalam kereta. Mandi di tandas awam.

“Kerja guard malam bawa keluarga tidur dalam kereta. Rumah mereka terbakar bulan empat. Semua habis musnah. Saya tidur lena makan sedap, ada orang sampai tinggal dekat bonet kereta. Berpantang baru lepas bersalin hanya dalam kereta je,” tulis Ebit di ruangan kapsyen.

Menerusi hantaran itu juga, Ebit berkongsi beberapa keping gambar beliau membawa keluarga itu membeli barangan keperluan selain rumah baharu yang disewa untuk mereka.

“Saya sewakan rumah cantik selesa ada 3 bilik. Saya akan bayar sewa rumah untuk sebulan sementara mereka dapat rumah PPRT. Dah dua kali mohon semenjak rumah terbakar. Tapi jika mereka terus ingin terus di situ pun saya akan terus bayarkan dengan gembira.

“Saya hadiahkan Peti Ais, Mesin basuh, TV, Rice Cooker, Dapur, Kipas, katil Queen satu, Katil Single dua, barang dapur dan duit belanja. Sayu masa nak belikan barang untuk mereka tadi,” jelas beliau.

Malah, Ebit sempat memuji keluarga ini yang sangat baik dan berbudi bahasa.



“Baik sangat pasangan ini. Tak berhenti Ganesh dan isteri cakap terima kasih. Mereka menangis terharu. Katanya kenapa banyak sangat ustaz. Mereka suka sangat tengok rumah baru. Cantik dan selesa,” tulis Ebit lagi.

Pada Khamis, kisah kehidupan Ganesh bersama isteri dan tiga anak tular di media sosial apabila mereka terpaksa tinggal di dalam kereta Proton Iswara yang berusia kira-kira 20 tahun selepas rumah mereka di Lebuh Carnarvon, di sini musnah dalam kebakaran pada awal April lalu.

Ganesh berkata kepada Sinar Harian, setiap hari dia akan membawa kereta tersebut dengan anak dan isteri mencari tempat redup untuk berhenti dan berteduh sementara di sekitar bandar ini dan menggunakan tandas-tandas awam untuk mandi dan sebagainya.

Sementara itu, Parameswary yang bersalin lapan bulan lalu terpaksa menjalani kehidupan berpantang dengan anak ketiganya di dalam kereta tersebut kerana tiada tempat tinggal.

Dia hanya mengharapkan pendapatan suami yang bergaji kecil dan bayinya hanya minum susu badan bercampur susu botol.

Sehingga kini, foto-foto pertemuan tersebut telah menerima hampir 145,000 tanda suka dan 10,000 perkongsian daripada wargamaya.