Personaliti televisyen, Ras Adiba Radzi mengakui berdepan pengalaman sukar pada mulanya untuk membesarkan anak angkatnya yang menghidap sindrom asperger, Umar.

Kata Ras, dia perlu mengambil ubatan tertentu dan menggantungkan tiub halus di lehernya untuk menyusukan anak syurga itu.

"Ini anak saya. Dia seorang Asperger di bawah spektrum Autisma. Saya Ibu susunya.

"Sebelum Umar hadir di dalam hidup saya, saya mengambil ubatan dan menggunakan tiub halus seakan straw dan balang plastik yang digantungkan di leher saya (yang pada mulanya disi dengan susu formula bayi) untuk menyusukan Umar.

"Mula-mula susah namun perlahan-lahan menjadi," katanya menerusi sebuah entri di Instagram.

Menggalas tanggungjawab sebagai ibu dan bapa kepada bayi itu sejak kecil, Ras menyifatkan Umar pelengkap hidupnya.

"Apabila ada yang seperti persoal serta tidak selesa melihat perhatian yang sedia ada di antara anak dan seorang emak, saya akan senyap dan senyum sahaja.

"Dia anak saya dan saya akan senantiasa galas tanggungjawab dan janji saya pada Illahi untuk menjaganya.

"Umar bersusah senang dengan saya. Sayalah mak dan saya lah Bapanya ketika saya sendirian.

"Semoga Umar besar dengan sihat, hormati orang lain, berbudi bahasa, rajin dan yang paling utama menjadi seorang yang soleh," tambah Ras.

Ras baru mendirikan rumah tangga kali ketiga bersama seorang usahawan Mohamed Azam Ali pada Mac lalu.