Scha Alyahya Sudah Lama Pasang Niat Mahu Berhijrah - “Risau Amalan Tak…”
Pelakon Scha Alyahya mengakui sudah lama memasang niat untuk memakai hijab namun masih belum bersedia untuk menghebohkan perkara tersebut kepada umum.
Sudah berniat
Menurut Scha atau Sharifah Nor Azean Mahadzir, 42, niat tersebut terdetik selepas pulang daripada menunaikan umrah pada tahun 2023.
“Rasa niat untuk berubah selepas balik umrah, saya fikir usia pun nak masuk 40 tahun. Selalu berborak dengan diri sendiri dalam bilik seorang diri.
“Niat sudah sebelum arwah meninggal dunia lagi.
“Dah lama pasang niat (pakai tudung) doakan untuk saya dan banyak benda lain syaa praktis untuk dekatkan diri dengan Allah. Kalau nak cerita, sedih sangat,” ujarnya.
Scha berkongsi perkara demikian ketika ditemui di Majlis Previu Eksklusif Koleksi Shawlpublika x Seth dan Luna Slay-Sa Raya 2025.
Risau amalan tidak diterima
Dalam pada itu, Scha juga akui risau apabila amalan yang dilakukan sekarang tidak diterima Allah dan mahu memudahkan urusan almarhum ibunya.
Malah, Scha juga sering bermonolog dengan Allah dan sentiasa berdoa urusan untuk berubah dipermudahkan.
“Saya takut benda yang kita buat, akan mengehadkan pahala. Semua itu ibu saya akan tanggung.
“Saya dan Tuhan berborak setiap hari. Minta apa sahaja kepadaNya dipermudahkan.
“Risau benda tak elok akan sampai (kepada ibu), yang elok ada halangan. Saya kena luruskan diri dahulu,” katanya.
Dalam pada itu, Scha juga memaklumkan bahawa dia juga sudah memberi bayangan kepada suami untuk berubah ke arah yang lebih baik.
Malah, turut sering menyertai kelas agama bersama beberapa rakan industri seperti Neelofa, Nora Danish namun tidak menguar-uarkan perkara tersebut.
“Selalu bagi hint dekat Awal dan dia perasan perkara tersebut.
“Saya selalu pergi kelas agama bersama kawan-kawan tetapi memilih untuk tidak berkongsi,” katanya.
Sebelum ini, timbul desas-desus Scha ingin berhijab dan berubah ke arah kebaikan.
Scha juga sering berkongsi petikan kata-kata berunsur keagamaan dalam media sosialnya.
Menerusi perkembangan lain, Scha kini tampil sekali lagi menjadi muse untuk Koleksi Shawlpublika x Seth dan Luna Slay-Sa Raya 2025.