Penyanyi dan komposer, Faizal Tahir menyifatkan BoBoiBoy Movie 2 (BBBM2) sebagai filem animasi bertaraf antarabangsa yang wajib ditonton ketika ini.

Pendapatnya itu dikongsi menerusi program MeleTOP yang bersiaran di Astro Ria baru-baru ini.

Menurut Faizal, dia pada awalnya menjangkakan filem tersebut akan membuatkannya tertidur, namun ia berlaku sebaliknya.

"Saya tak nak tipu, mintak maaf kepada produksi Animonsta. Waktu tayangan gala tempoh hari, saya jangka akan tertidur sebab agak kepenatan ketika itu.

"Namun apa yang saya boleh katakan filem ini betul-betul bertaraf antarabangsa. Ini jujur ya tak dibayar satu sen pun, saya bagi tahu seikhlas hati," katanya.

Tambahnya, walaupun bertaraf antarabangsa filem BBBM2 masih mengekalkan lawak dan komedi tempatan.

"Mungkin ramai yang jangka ia hanya untuk kanak-kanak semata-semata tapi sebenarnya semua lapisan umur boleh enjoy.

"Bayangkanlah jarang-jarang saya tahan pergi bilik air semata-mata nak tonton BBBM2 sampai habis. Saya beri 9.5 bintang untuk filem ini," katanya.

Jika anda terlepas untuk menonton MeleTOP tempoh hari, anda boleh lihatnya di YouTube di bawah.

Untuk rekod, BBM2 berjaya meraih kutipan sebanyak RM9.9 juta menerusi lima hari tayangan di Malaysia, Singapura dan Brunei.

BBBM2 membuka tayangannya menerusi 145 pawagam diseluruh Malaysia.

Baca: Baru 5 Hari Tayangan, Boboiboy Movie 2 Dah Berjaya Mengutip RM9.9 Juta... Pergh!

Jadi pada anda yang masih belum mendapatkan tiket apa tunggu lagi?