Penyanyi Fian Ali, 25, mengakui dia dan adiknya Alif Ali, 16, mendapat jalan mudah untuk berkecimpung dalam industri seni memandangkan ibu mereka adalah penerbit, Datuk Ayu Puteh.

Enggan mensia-siakan peluang, Fian atau nama sebenarnya Mohd Sufian Mohd Ali berkata dia akan menggunakan sebaik mungkin memandangkan tak semua orang perolehi.

"Saya setuju peluang kami agak mudah bila mak kami adalah seorang penerbit. Tak semua orang dapat peluang macam itu.

"Alhamdulillah ada rezeki kami kat sini. Rugi kalau tak gunakan sebaik mungkin," katanya kepada Gempak.

Tambah pelantun lagu Semakin Benci Semakin Rindu, keputusannya untuk menceburi bidang nyanyian mendapat sokongan penuh daripada Ayu Puteh dan ahli keluarga lain .

"Mama okey bila tau saya dan adik memilih bidang nyanyian. Mama minta saya teruskan dan jangan mudah putus asa.

"Saya syukur dapat keluarga yang memang saling menyokong antara satu sama lain," katanya ketika pelancaran single terbaru Ala Shayang yang dibuat secara alam maya di aplikasi Zoom.

Bercerita lebih lanjut tentang Ala Shayang, pelakon filem Aku Ada Kau Ada memilih untuk menghadiahkan single terbaru ini kepada peminat yang sudah lama menanti sejak tahun 2016.

"Tidak dinafikan ramai yang bertanya mengenai comeback saya dalam bidang nyanyian walaupun dengan hanya satu single yang terdahulu namun saya sangat bersyukur kerana nyanyian saya dapat diterima semua

"Saya melihat lagu ini sebagai satu platform untuk saya kembali mengambil hati peminat yang selama ini telah menyokong single pertama saya Semakin Benci Semakin Rindu.

"Walaupun muziknya berbeza tetapi ianya sesuatu yang lebih baru untuk tahun 2021 dan memberi sesuatu kelainan dari sisi saya sebelum ini," katanya lagi.

Ala Shayang sudah pun berada di saluran YouTube Indigital Music sejak 19 Februari lalu dan ianya juga boleh distrim melalui semua platform digital.

Selain Fian, Alif juga melancarkan buah tangan pertama iaitu My Boo yang turut sama dilancarkan melalui YouTube Indigital Music pada malam ini jam 9.