Penyanyi kontroversi, Baby Shima memberi kenyataan balas terhadap teguran PU Syed mengenai pendapat penganjuran konsert di Malaysia.

Shima berkata, kenyataannya itu dilakukan secara umum, dan konsert pula dilihat sebagai sebahagian daripada hiburan.

“Konsert Coldplay telah pun diluluskan oleh kerajaan. Di Malaysia ini pelbagai agama dan bangsa yang ada. Kita masyarakat majmuk.

“Berapa banyak konsert telah dianjurkan sejak negara kita merdeka? Pilihan atas diri dan pendapat masing-masing. Saya bukan orang yang mempunyai latar belakang agama apatah lagi nak menghalalkan apa yang haram.

“Saya beritahu pendapat saya sahaja. Mungkin disebabkan saya tiada title PU saya tak boleh suarakan pendapat? Adakah cuma yang ada title PU je yang boleh bercakap? Mana yang bab menghina agamanya?” soal Baby Shima.



Dalam masa sama, Baby Shima menambah, tuduhan terhadap dirinya yang menghina agama, mengeluarkan fatwa, malah fatwa yang songsang adalah tuduhan yang berniat jahat dan fitnah.

“Saya cuma menggunakan hak saya dalam memberikan pendapat peribadi secara umum. Sekiranya tidak mahu ke konsert, tidak perlu ke konsert. Tiada keperluan menyerang saya membuta tuli. Janganlah kita rasa mulia dan semua artis itu pendosa. Kita semua pendosa.

“Alangkah baiknya jika pihak-pihak ini boleh menghubungi saya sekiranya mereka tidak faham apa yang saya cuba sampaikan. Saya juga sudi dan bersedia menerima teguran bukan serangan tanpa usul periksa.

“Saya juga akan rujuk kepada pihak peguam, sekiranya perlu untuk ambil tindakan susulan,” tutupnya.

Terdahulu, Baby Shima berpendapat individu yang merasakan konsert Coldplay sebagai haram tidak perlu datang untuk menonton.

Tindakannya itu mencetuskan cakap-cakap dalam kalangan netizen, termasuk teguran daripada pendakwah bebas, PU Syed yang mengatakan Baby Shima mengeluarkan fatwa sendiri tentang halal haram sesebuah konsert.