Hiburan
"Sebelum Ini Kami Tak Pernah Bergaduh, Tapi..." - Hafreez Adam Rasai Dugaan Bertunang Dengan Zara Zya
Pelakon Hafreez Adam mendedahkan dia merasai dugaan bertunang dengan aktres Zara Zya.
Jelas Adam, sebelum menjalinkan ikatan pertunangan pada 12 Oktober lalu, mereka tidak pernah bergaduh.
"Dua tahun bercinta dengan Zara sebelum bertunang, kami tak pernah bergaduh. Hubungan berjalan dengan baik sahaja.
"Namun begitu, selepas bertunang, perkara lain pula terjadi. Saya enggan ambil serius dan menganggap perkara ini sebagai satu dugaan orang bertunang," katanya.
Tambah Adam, mereka menjadikan aplikasi mesej WhatsApp sebagai penghubung kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya.
"Bayangkan, selepas bertunang, kami hanya berjumpa sebanyak dua kali sahaja kerana kekangan kerja.
"Walaupun tak berjumpa, komunikasi sangat penting. Rindu itu memang ada, tapi kami sudah berada dalam fasa matang.
"Apa yang saya dan dia buat sekarang adalah untuk masa depan kami selepas berkahwin nanti. Doakan yang terbaik untuk kami, Insya-Allah," katanya.
Dalam perkembangan terbaru, Adam baru sahaja selesai menjalani penggambaran telefilem Izrail Memanggil bergandingan dengan Tiz Zaqyah.
"Ini kali kedua saya bekerja dengan Tiz. Dia seorang pelakon yang sangat senang untuk bekerjasama.
"Selain itu, pengarah Zamri Zakaria dan tenaga produksi lain juga memberikan sokongan yang baik sepanjang penggambaran berlangsung," katanya lagi.
Izrail Memanggil yang diterbitkan oleh Mind Eyes Prod Sdn Bhd turut dibintangi oleh Iswan Ismail, Farhan Asri, Fauziah Nawi dan ramai lagi.
Must-Watch Video