Hiburan
Sebelum Pindah Rumah, Aizat Amdan Cipta Lagu ‘Jangan Menangis’ Untuk Ibu
Penyanyi dan penulis lirik Aizat Amdan akui single terbarunya Jangan Menangis dicipta khas untuk ibunya, Fina Nurhizah Baharu Zaman.
Aizat Amdan atau nama sebenarnya Muhammad Aizat Amdan, 27, berkata lagu itu dihasilkan mengenai apa yang dirasainya sebelum berpindah dari rumah ibu bapanya pada Ogos tahun lalu.
“Pada mulanya saya mahu mencipta lagu berkaitan kesusahan orang di Syria tetapi kebetulan saya juga ketika itu sedang hendak berpindah rumah buat pertama kalinya.
"Jadi lagu ini garapan daripada pengalaman saya melihata penderitaan orang-orang di Syria dan selebihnya mengenai peribadi saya.
"Meskipun sudah membuat keputusan untuk membina hidup sendiri dengan berpindah ke rumah lain, namun pada masa itu saya berhadapan situasi serba salah kerana ibu saya seperti berat hendak membiarkan saya pergi.
"Jadi menerusi lagu ini, saya cuba sampaikan kepada keluarga bahawa saya mampu hidup sendiri dan berdikari.
"Namun lagu ini akan berubah mengikut situasi seseorang juga kerana ia sangat universal kepada sesiapa sahaja yang melalui perasaan seperti itu mengikut pengalaman hidup masing-masing," katanya kepada Astro Gempak.
Selain Aizat, Jangan Menangis dicipta bersama Faizal Tahir dan Mike Chan.
Aizat berkata idea mencipta lagu tersebut sebenarnya tercetus selepas dia dan Faizal sama-sama mengikuti ekspedisi 1Moment4them bagi membantu rakyat Syria pada 2013.
"Kami sama-sama pergi ke Syria. Sebagai manusia, ada beberapa benda yang buat saya tersentuh ketika berada di sana.
"Jadi daripada pengalaman itu saya garap semuanya dalam bentuk kata-kata dan diabadikan dalam Jangan Menangis.
"Saya dan Faizal sama-sama berada dalam industri dalam temph yang sama, saya sudah lama menyimpan hasrat untuk berkolaborasi dengannya, tak sangka akhirnya jadi kenyataan," katanya lagi.
Lagu Jangan Menangis edaran Warner Music Malaysia Sdn Bhd turut menyaksikan kerjasama pertama antara syarikat rakaman Kasi Gegar Entertainment milik Aizat dan Faithful Music kepunyaan Faizal Tahir.
Teks oleh: Syafiqah Jalal
Must-Watch Video