Nama Khabir Bhatia bukanlah sesuatu yang asing dalam industri hiburan.

Merupakan seorang pengarah prolifik, Khabir sering muncul dengan filem-filem yang menarik hati penggemar.

Sebelum filem terbaru arahan Khabir iaitu Sangkar menjengah pawagam, mari kita imbas kembali lima filem terdahulu arahannya:

Cinta



Filem Cinta merupakan filem pertama arahan Khabir Bhatia. Ia dibintangi oleh Sharifah Amani, Pierre Andre, Fasha Sandha, Rashidi Ishak dan ramai lagi.

Filem ini telah ditayangkan pada tahun 2006 dan tersenarai dalam filem pecah panggung ketika itu dengan hasil kutipan sebanyak RM 2.2 juta.

Sepi



Filem romantik ini pula ditayangkan pada tahun 2008. Antara pelakon popular yang membintangi filem ini adalah Datuk Afdlin Shauki, Vanidah Imran, Nasha Aziz, Tony Eusoff dan ramai lagi.

Filem ini mengisahkan tentang tiga insan yang cuba mengenal cinta dan menghadapi kehilangan serta kesepian. Kos perbelanjaan filem ini pula telah menelan belanja sebanyak RM 1.5 juta.

Nur Kasih The Movie



Terasa seperti baru semalam filem kegemaran ramai ini ditayangkan. Nur Kasih The Movie menampilkan Remy Ishak, Tiz Zaqyah dan Datuk Fizz Fairuz sebagai teraju utama.

Nur Kasih telah mula menemui pencinta filem tempatan pada tahun 2011, ia juga telah mencatat rekod pecah panggung apabila berjaya mendapat hasil kutipan sebanyak RM 4.93 juta.

Bisik Pada Langit



Filem Bisik Pada Langit pula ditayangkan tiga tahun lalu. Ia dibintangi oleh Jalil Hamid, Ummi Nazeera, Beto Kusyairy dan ramai lagi.

Seperti sebelumnya, filem ini juga tersenarai dalam filem pecah panggung apabila hasil kutipannya mencecah RM 3.5 juta.

Pulang



Tentu sahaja babak-babak dalam filem ini masih segar dalam ingatan anda yang pernah menontonnya. Filem Pulang ditayangkan pada tahun lalu dan turut mencatat rekod pecah panggung dengan hasil kutipan sebanyak RM 2.3 juta.

Filem ini dibintangi oleh Remy Ishak, Puteri Aishah, Azrel Ismail dan ramai lagi.

Kini, tinggal 22 hari sahaja lagi filem Sangkar akan menjengah pawagam di seluruh negara serta Singapura dan Brunei bermula 29 Ogos ini.

Sangkar telah melakar sejarah dalam industri perfileman tanah air kerana diterbitkan oleh empat syarikat perfileman tempatan iaitu Infinitus Gold, Primeworks Studios, Astro Shaw dan MM2 Entertainment.

Antara pelakon yang membintangi filem ini adalah Remy Ishak, Zul Ariffin, Mira Filzah, Ray Era, Nik Adam Mika dan ramai lagi. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya!