Laman Utama
“Sebenarnya, Saya ‘Kena Tipu’ Dengan Aedy Ashraf…” - Ezaidi Aziz
Nama pelakon baharu, Ezaidi Aziz mungkin agak asing dalam kalangan penggemar drama Melayu. Namun, lelaki berusia 28 tahun itu sudah lama mewarnai pentas peragaan sebagai seorang model profesional.
Mula aktif berlakon selepas terlibat dalam beberapa drama sejak lima tahun lalu, Ezaidi berkata, dia terjebak dalam dunia hiburan adalah disebabkan oleh ‘pembohongan’ yang dilakukan oleh rakan selebriti, Aedy Ashraf.
Advertisement
“Saya memang bermula sebagai model. Tapi, saya bermula berlakon sekitar lima tahun lalu. Sebenarnya, saya kena tipu dengan Aedy Ashraf.
“Ketika itu, Aedy hubungi saya, dia kata ada shoot pada hari berikutnya. Dia tanya sama ada saya free atau tidak. Saya ingat sesi photoshoot. Jadi, saya ok sahaja.
“Namun, apabila pengarah menghubungi saya, baru saya sedar yang saya telah bersetuju untuk memenuhi undangan lakonan,” katanya kepada Gempak.
Ezaidi berkata demikian pada majlis pelancaran drama bersiri Hijrah Jannah yang diadakan di ibu kota baru-baru ini.
Menurut Ezaidi, pada awalnya, dia merupakan seorang yang sangat pemalu. Namun, atas dorongan kru dan juga Aedy, dia berjaya menyesuaikan dirinya sebagai pelakon di set penggambaran.
“Saya call Aedy semula, tanya dia mengenai tawaran berkenaan. Aedy kata, cuba sahaja. Dan alhamdulillah, apabila saya masuk set, kru semua sangat membantu,” katanya lagi.
Menerusi drama Hijrah Jannah, Ezaidi membawakan watak sebagai Zakri, seorang lelaki yang begitu dekat dengan agama.
Selain Ezaidi, Hijrah Jannah turut dibintangi oleh teraju utama, Remy Ishak dan Daniella Sya. Selain itu, siri arahan Feroz Kader ini turut dijayakan oleh Puteri Sarah, Khalidah Atlibah, Daniel Fong, Angeline Tan dan Kenji Sawahi.
Hijrah Jannah akan ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula 5 Jun 2023, jam 6.00 petang secara eksklusif melalui saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang fleksibel.
Must-Watch Video