Selebriti TikTok, Haikal Irfan, 23, tidak menyangka platform TikTok mampu mengubah nasib dan kehidupannya selepas diberhentikan kerja akibat pandemik beberapa tahun lalu.

Jelas pemuda berasal dari Ipoh, Perak itu, cintanya terhadap TikTok mulai berputik gara-gara menganggur.

"Dulu saya belajar bidang kulinari dan mulakan kerjaya dalam dunia masakan sebagai cef pelatih atau commis chef di sebuah hotel.

"Sewaktu PKP, saya diberhentikan kerja dan pulang ke kampung duduk bersama keluarga di Ipoh.

"Pada masa itulah 'cinta' saya terhadap TikTok berputik setelah bosan menganggur. Saya godek satu persatu kelebihan yang ada dan pelajari cara cari duit melaluinya.

"Tak disangka-sangka, baru dua bulan main aplikasi ni, video saya tular dan momen manis itu menyuntik semangat untuk hasilkan kandungan video lebih kreatif dan berkualiti," kongsinya.

Namun di sebalik kejayaan diraihnya dalam tempoh sesingkat dua tahun, Irfan mendedahkan hasratnya menjadi TikToker tidak direstui keluarga termasuklah ibu bapanya.

"Mereka suruh saya cari kerja tetap yang lebih terjamin, tetapi saya tetap berkeras untuk jadikan TikTok sumber pendapatan.

"Ahli keluarga memang tak setuju dengan keputusan saya. Keras kepala, saya tekad lari dari rumah bawa diri ke Kuala Lumpur untuk tuntut ilmu seni kreatif selain peluang yang terbuka luas," akuinya.

Kini setelah hampir lima tahun mendalami dan menyelami selok belok ritma aplikasi media sosial paling mendadak pengaruhnya di dunia itu, Irfan boleh tersenyum bangga dengan deretan pencapaian dikecapinya.

Pada tanggal 26 Jun 2021, perjuangannya di medan digital demi mempengaruhi sejuta warga maya mengikutinya di platform TikTok akhirnya terlaksana.

Sehingga ke saat ini, dia berbangga dengan perolehan dijana daripada medium TikTok yang mencecah sekurang-kurangnya RM10,000 sebulan, bahkan pernah mencatat angka berjumlah RM50,000.

Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.