Pakar motivasi yang juga saksi pertama pendakwaan kes gangguan seksual melibatkan pendakwah terkenal, Ebit Lew memaklumkan kepada mahkamah bahawa pengadu awalnya enggan membuat laporan polis berikutan menganggap dirinya berstatus orang biasa.

Mohd Fairuz Abu, 37, berkata, dia menerima puluhan mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripasa individu yang mengaku menjadi mangsa gangguan seksual termasuk dilakukan Ebit.

Mohd Fairuz memaklumkan, terdapat salah seorang individu menghubunginya (identiti didedahkan tidak boleh didedahkan) pada 26 Julai 2021 sekitar pukul 11.04 malam untuk bertanyakan maksud ‘posting’ laman sosial Facebook yang dimuat naik.

"Apabila saya sebut individu yang dimaksudkan Ebit Lew, pengadu terus berkongsi tangkap layar yang menunjukkan perbualan antara Ebit dengan pengadu termasuklah hantaran gambar kemaluan yang diberikan melalui WhatsApp.

"Terdapat juga mangsa lain yang membuat aduan pernah menjadi mangsa gangguan seksual Ebit Lew namun tidak mahu meletakkan nama ekoran takut dan tidak berani tampil ke depan," katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.

Mengulas lanjut, Mohd Fairuz memberitahu mahkamah, dia juga ada menasihatkan pengadu agar membuat laporan polis tetapi pengadu menganggap dirinya hanya ‘orang kecil’ dan Ebit sebagai ‘orang besar’.

Mohd Fairuz memberitahu mahkamah yang dirinya berkata kepada pengadu bahawa berapa ramai lagi yang akan diganggu secara seksual oleh Ebit sekiranya ruang dan peluang tidak digunakan untuk membuat laporan polis.

Bagaimanapun, peguam Ram Singh yang mewakili Ebit membantah jawapan saksi itu ekoran berpendapat jawapan "bayangkan berapa ramai lagi yang akan diganggu oleh Ebit Lew" bersifat tuduhan yang tidak mempunyai bukti.

Menurutnya, jawapan itu tidak boleh direkodkan kecuali jika terdapat bukti laporan polis.

Zahida membalas bantahan Ram Singh dengan menyatakan apa yang dikatakan saksi adalah perbualan antara dia dengan pengadu.

Fairuz memberitahu mahkamah lagi, laporan polis akhirnya dibuat oleh tertuduh dan dia sendiri juga telah dipanggil untuk memberi keterangan.

"Saya juga dipanggil untuk jadi saksi bagi diambil kenyataan oleh polis dan telefon (jenis) OnePlus saya juga telah diberikan kepada polis," katanya.

Terdahulu, Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 37, tiba di Mahkamah Majistret Tenom kira-kira pukul 9 pagi untuk menghadiri perbicaraan hari pertama pertuduhan gangguan seksual yang dikaitkan dengan dirinya.

Mengenakan baju kemeja serba hitam serta berkopiah putih, Ebit tiba menaiki kereta jenis pacuan empat roda Toyota Land Cruiser warna hitam selain diringi beberapa kenderaan lain.

Ebit yang ditemani peguam serta sekumpulan individu kelihatan dalam keadaan tenang dan memberikan senyuman ketika memasuki pintu utama mahkamah.

Perbicaraan kes gangguan seksual yang dikaitkan dengan Ebit Liew berlangsung hari ini hingga Jumaat.

Ebit pada 18 Februari lalu didakwa atas 11 pertuduhan melibatkan hantaran gambar serta perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seseorang melalui aplikasi Whatsapp.

Semua kesalahan itu didakwa berlaku ke atas seorang wanita Melayu di daerah Tenom antara Mac hingga Jun 2021.