Laman Utama
Segan Dipuji Suami Mithali, Alif Satar Jawab Isu Penyondol - "Dulu Adalah Peminat Mencuba..."
Selebriti versatil, Alif Satar mendedahkan rumah tangganya dengan isteri, Sha Dila Hadid tidak pernah diganggu orang ketiga atau 'penyondol'.
Kata Alif sebagai pelakon dan selama 17 tahun menceburi bidang seni dia bersyukur kerana dikelilingi orang yang profesional dan tidak pernah terlibat dengan cinta lokasi dan sebagainya.
"Saya pergi kerja kemudian balik, memang tak ada yang cuba untuk mengurat. Tapi dulu masa mula-mula berkerja dalam industri adalah peminat yang mencuba tapi mereka cuma berseloroh sahaja.
"Mungkin mereka tahu kalau ngurat saya pun bukan dapat apa.
"Lagipun saya seronok bekerja dengan semua yang sangat profesional dan hormat menghormati antara satu sama lain. Jadi tiada isu sondol menyondol ni," katanya kepada Astro Gempak.
Alif ditemui selepas Tayangan Perdana Filem Pulau baru-baru ini.
Alif tidak menafikan dia dilindungi kerana sentiasa mengingati pengorbanan isterinya dalam menjaga kebajikan anak-anaknya di rumah.
"I have a good woman, tu je yang Alif nak cakap. Satu kesilapan boleh merosakkan semuanya. Saya ada isteri dan anak-anak, Alhamdullilah, saya sangat bersyukur dengan apa yang saya ada sekarang," kongsinya.
Apabila ditanya apa komennya apabila ramai yang memuji dirinya sebagai suami mithali kerana tidak pernah terpalit dengan kontroversi atau gosip nakal, Alif akui segan.
"Saya segan juga sebenarnya bila orang komen begitu. Kadang-kadang kita nampak baik tetapi sebenarnya Tuhan sedang jaga dan tutup aib kita. Berat tanggungjawab itu, jadi malu pula.
"Bila orang melambung-lambung puji kita, saya jadi takut. Sebab itu sekali sekala bila orang kecam, saya teruja juga. Seimbanglah. Saya pun ada kesilapan, manusia biasa," ujarnya.
Alif dan Shad sudah sembilan tahun mendirikan rumah tangga dan mereka dikurniakan tiga anak, Alisha Anugerah, 8, Ariana Mecca, 6, dan Muhammad Ali, 4.
Must-Watch Video