Presiden dan pengasas syarikat perunding kewangan, AUF MBZ Consortium, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman mendakwa namanya digunakan sindiket penipuan pelaburan tidak wujud.

Mahadi berkata, perbuatan tersebut semakin menjadi-jadi sejak mendirikan rumah tangga bersama penyanyi dan aktivis, Heliza Helmi.

"Ini bukan kali pertama nama saya digunakan, malah semakin menjadi-jadi sejak saya mendirikan rumah tangga bersama Heliza," katanya.

Tambah Mahadi, deliau mengesan pihak dan individu terbabit menggunakan akaun palsu di media sosial seperti Facebook dan Instagram selain aplikasi sembang maya seperti Telegram untuk memperdaya mangsa.

Akibatnya, beliau dan syarikatnya menerima banyak kiriman mesej daripada mangsa yang mendakwa menanggung kerugian akibat ditipu sindiket berkenaan.

"Berdasarkan maklumat mangsa, mereka ditawarkan skim pelaburan serendah RM300 dan menjanjikan pulangan antara RM10,000 sehingga RM18,000 hanya dalam tempoh tiga hari.

"Scammer ini menggunakan nama, gambar dan video ceramah saya kononnya saya adalah bos mereka.

"Kebanyakan mangsa yang terpedaya memasukkan wang diminta ke dalam akaun bank diberikan tetapi selepas tiga hari, mangsa diminta memasukkan sejumlah wang lagi sebagai deposit bagi mendapatkan wang pelaburan mereka.

"Mangsa hanya menyedari ditipu apabila individu terbabit gagal dihubungi selepas memasukkan wang itu," katanya dalam sidang media di sebuah restoran di Sungai Penchala di sini, hari ini.

Mahadi berkata, setakat ini pihaknya mengesan kira-kira 100 akaun media sosial dan laman web yang menggunakan identitinya untuk mempromosikan skim pelaburan dan menipu mangsa.

Antara akaun media sosial yang menggunakan namanya adalah Al Kahtifah Trust, Aurora Mining Team, Al-Dagang Malaysia, Bijak Labur, Madinah Mining, Pelaburan Al-Marzuqi, MoneyStone dan Xafee Trade.

Berikutan itu, katanya, pihaknya sudah membuat lima laporan polis sejak awal tahun ini dengan terbaharu dibuat pada 25 Februari lalu di Balai Polis Kelana Jaya.

"Setakat ini, saya belum dimaklumkan polis mengenai tindakan diambil. Namun kami difahamkan polis sudah memaklumkan perkara itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut," katanya.

Katanya, kegiatan sindiket penipuan itu turut menjejaskan urusan syarikatnya selain mencemar reputasi dan nama baiknya.

"Saya minta tolong mangsa buat laporan polis supaya pihak berkuasa dapat mengambil tindakan mengikut undang-undang. Tidak perlu gusar tindakan mereka akan menjejaskan saya kerana saya sendiri buat laporan polis," katanya.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau sebarang pertanyaan boleh menghubungi syarikat melalui laman web www.aufmbz.com atau menghubungi 018-2550707/5752 untuk mengelak menjadi mangsa penipuan.

Sumber: Harian Metro