HIBURAN
“Sejujurnya Sebagai Anak, Saya…” - Zaki Yamani Maafkan Farid Kamil Atas Kesilapan Petik Nama Datuk Jamal Abdillah
Anak kepada Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah, Zaki Yamani mengakui dia sudah memaafkan pelakon, Farid Kamil atas tindakannya yang memetik nama ayahnya dalam sebuah podcast yang pernah tular suatu ketika dahulu.
Menurut Zaki, dia mengetahui perkara tersebut daripada abangnya, Yamani Abdillah memuat naik satu hantaran di Instagram Story dengan kapsyen yang sangat marah.
Katanya, dia terkejut selepas bertanyakan kepada abangnya kenapa dia bertindak sebegitu kepada pelakon tersebut.
“Masa saya dapat tahu isu pasal ayah saya dari abang saya, Yamani. Abang saya ada post di Instagram Story. Saya pun WhatsApp dia tanya apa yang tengah berlaku? Kenapa Abang marah marah dekat Instagram?
“Kemudian, abang saya membalas pertanyaan saya itu dan dia pun hantar saya video podcast itu. Saya pun tengoklah video tu bercakap pasal ayah saya dijadikan contoh mengenai dadah,” katanya kepada Gempak.
Zaki Yamani berkata demikian ketika menghadiri sesi uji bakat tertutup Raise The Star Malaysia yang berlangsung di Studio A, Astro Bukit Jalil pada Rabu.
Pada masa sama, Zaki juga meluahkan rasa kecewa apabila nama ayahnya dijadikan contoh secara terbuka dalam hal sensitif seperti itu tanpa mengambil kira kesan kepada ahli keluarga yang lain.
“Sejujurnya, sebagai anak, saya terasa dan marah kerana saya perlu menjaga nama baik keluarga saya.
“Jadi, saya kena jaga sebab saya tahu ayah saya seorang yang tidak akan menjawab mengenai kontroversi yang berlaku. Dia hanya dia sahaja,” jelasnya.
Walaupun terguris hati apabila nama ayahnya dipetik oleh bekas suami Diana Danielle namun, penyanyi yang berusia 19 tahun itu cuba mengambil pendekatan untuk kekal tenang dan menyatakan dia secara peribadi telah memaafkan pelakon tersebut.
“Saya juga pernah cuba untuk menjadi seperti dia dan saya memaafkan pelakon itu. Saya tidak tahu apa pendapat abang saya dengan pelakon itu atau pendapat ayah saya. Tapi saya sebagai anak kedua, saya okay je dan saya maafkan,” kongsinya.
Bagaimanapun, dia juga berharap agar tiada lagi pihak yang menggunakan nama artis terutama sekali yang pernah lalui zaman sukar sebagai topik perbincangan tanpa memikirkan sensitiviti.
“Kalau boleh jangan nak libatkan mana mana nama artis yang dikaitkan atau pernah lalui fasa tidak baik itu. Saya maafkan. Kalau ayah saya tidak cakap maafkan, takpe saya maafkan,” katanya.
Terdahulu, Farid Kamil mengaku silap dan memohon maaf kerana menyebut nama Datuk Jamal Abdillah dalam podcast yang tular.
Katanya, niat asal hanyalah untuk beri pengajaran agar tidak terjebak dengan penyalahgunaan dadah, namun disalah tafsir.
Tindakan itu mengundang kecaman netizen yang kurang senang apabila nama Jamal dikaitkan dalam isu berkenaan.