“Sekarang Dia Masih Ingat Saya…” - Tersentuh Jiwa, Fatimah Abu Bakar Teringat Situasi Ibu
Mya Amri
22/02/2023 08:50 MYT
22/02/2023 08:50 MYT
Pelakon veteran, Fatimah Abu Bakar mengakui babak yang berlaku pada dua watak dilakonkan oleh Mior Hashim Manap dan Datuk Rahim Razali dalam filem Imaginur mengingatkannya kepada situasi yang berlaku kepada ibunya.
Disebabkan itu, Fatimah berkata filem tersebut benar-benar memberikan impak terhadap dirinya secara peribadi.
“Bila saya tengok filem ini, saya faham bahawa, apabila kita lihat sesuatu, tak perlu sangat nak memahami, tapi kita kena rasa. Itu yang saya belajar daripada filem Imaginur ini.
“Saya lihat perwatakan watak Mior (Mior Hashim Manap) dan Rahim (Datuk Rahim Razali), seperti perwatakan ibu saya,” ujarnya.
Fatimah ditemui pada malam pra tonton filem Imaginur bertempat di GSC, The Starling, Petaling Jaya pada Isnin.
Berkongsi mengenai ibunya, Rohani Tan Abdullah, Fatimah berkata ingatannya semakin hari semakin pudar dan secara tidak langsung menyentuh jiwanya sebagai seorang anak.
“Kami dalam keluarga mula sedar bahawa ingatannya semakin hari, semakin pudar. Bila bercakap mengenai ingatan atau memori, sekarang, dia masih ingat saya.
“Tapi, selepas ini, apa sahaja mengenai saya dan keluarga, kita tak tahu apa yang dia masih ingat.
“Kadang-kadang, dia pun takut ingatannya akan semakin pudar, cuma dia tidaklah beritahu secara terus terang.
“Tapi, dia selalu bergurau mengenainya. Dia sangat ‘rapuh’. Begitu juga dengan kita semua,” jelasnya.
Selain Fatimah, filem yang diarahkan oleh pengarah, Nik Amir Mustapha ini membariskan barisan pelakon hebat antaranya, Fatimah, Mior, Rahim, Beto Kusyairy, Diana Danielle, Nadiya Nisaa, Datuk Afdlin Shauki dan ramai lagi.
Imaginur akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 23 Februari 2023.
Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.
Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.