Pengarah terkenal Aziz M. Osman mengumumkan sudah bersedia untuk mengundurkan diri daripada dunia seni.

Kata Aziz, 57, dia mahu memberikan ruang dan peluang kepada pelapis muda untuk mengembangkan bakat dalam bidang pengarahan dan perfileman.

"Alhamdulillah selesai menjadi tenaga pengajar selama 4 hari di #masterclassfinas.

"Selama lebih 30 tahun saya menjadi pengarah filem, sekarang masa yang sesuai untuk saya mengundurkn diri dan memimpin pembikin filem muda.

"Satu evolusi yang terbaik...insya-Allah," tulis Aziz menerusi entri terbaharu di Instagram.

Pengumuman Aziz itu mencetuskan rasa hiba dalam kalangan peminat yang membesar dengan karya-karya hebatnya sekitar 1990-an.

Malah, ada yang menyifatkan ketiadaan Aziz kelak tidak akan berganti.

"Terima kasih abang segala karya-karya... Tahniah and proud of you," tulis salah seorang pengguna.

"Saya membesar dengan filem-filem abang," tambah pengguna lain.

"Terbaik abang... Moga abang melahirkan seseorang yang berbakat macam abang," sahut pengguna lain.

Aziz pernah menghasilkan naskhah hebat antaranya Baginda, Femina, XX Ray, Seri Dewi Malam, Senario The Movie, Puteri Impian dan Gila-Gila Pengantin.