Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin berkata ibu bapa mempunyai pilihan untuk tidak menghantar anak mereka ke sekolah meskipun sesi bersemuka sekolah bermula pada 3 Oktober ini.

Beliau menerusi sidang media khas petang tadi berkata, ketidakhadiran pelajar tidak akan dianggap sebagai satu kesalahan disiplin tetapi ibu bapa perlu menulis surat kepada sekolah mengenai perkara itu.

Katanya, tidak akan ada surat amaran akan diberikan, tetapi ibu bapa hanya perlu menjelaskan mengenai ketidakhadiran itu.

“Keputusan ini diambil selepas kita mengambil kira pandangan dan kebimbangan ibu bapa dan akan diguna pakai hingga penghujung sesi persekolahan tahun ini," katanya.

Sehubungan itu untuk memastikan keselamatan dan kesihatan pelajar, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) diberi kuasa menentukan tindakan lanjut, jika ada kes positif COVID-19 di sekolah, selepas pembelajaran bersemuka bermula pada 3 Oktober depan.

Dr Radzi berkata, pentadbir sekolah perlu melaporkan segera kepada PKD sekiranya ada kes positif.

Sebaik mendapat laporan itu, katanya, PKD akan menilai risiko bagi menentukan tindakan seterusnya, termasuk menutup sekolah bagi tempoh tertentu sekiranya perlu.

"Sekolah perlu laporkan kepada PKD dan masukkannya dalam aplikasi data COVID-19 yang dibangunkan kementerian.

"Kemudian, PKD akan menetapkan tindakan seterusnya berdasarkan penilian risiko yang dilaksanakan.

"Saya ingin mohon jasa baik ibu bapa untuk memahami kami di Kementerian Pendidikan akan bekerjasama rapat dengan PKD.

"Apa saja nasihat daripada PKD akan kita laksanakan dan maklumkan kepada ibu bapa," katanya.

Tambah beliau lagi, semua kakitangan sokongan yang bertugas dalam sekolah pada satu-satu masa perlu divaksin sepenuhnya.

“KPM sudah mengeluarkan arahan dalam konteks kebersihan dan keselamatan untuk memastikan semua pekerja sudah divaksin.

"Seperti dinyatakan sebelum ini, guru yang belum divaksin tidak dibenarkan mengajar secara bersemuka kerana kita ingin menekankan keseluruhan ekosistem sudah mendapat vaksinasi.

"KPM juga sudah mendapatkan senarai pemandu bas daripada Kementerian Pengangkutan, dalam masa yang sama ibu bapa juga perlu membuat pilihan sewajarnya," katanya.