Baru-baru ini, tular di laman sosial berkenaan dengan sepotong video yang memperlihatkan sekumpulan lelaki memberikan hadiah kepada rakannya yang sedang bersanding atas pelamin.

Bagaimanapun, hadiah yang diberikan kepada pasangan pengantin itu bukanlah hadiah ‘biasa-biasa’, sebaliknya, hadiah berkenaan berupa beberapa kotak k*nd*m.

Hal ini tidak hanya menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan netizen, malah melihat tindakan sekumpulan lelaki itu sebagai tidak beradap.


“Lain kali jangan jemput sampah-sampah gini datang. Buat malu je. Kesian pulak tengok pengantin perempuan.”

“Nak bergurau, bukan dengan cara begini. Lawak hubungan kelamin suami isteri jangan sekali-kali disentuh. Tolonglah jangan mencari publisiti murahan sebegini. Kesian pengantin dan pasangannya. Jadi kawan, janganlah memalukan kawan sendiri. Tak ada duit, tak perlu beli hadiah.”

Susulan daripada isu berkenaan, pendakwah Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim menegur perbuatan yang tidak molek.

Menerusi laporan Harian Metro, beliau menjelaskan bahawa pemberian hadiah tidak senonoh kepada pasangan pengantin hukumnya haram dan berdosa kerana menjatuhkan aib suami isteri, keluarga pengantin dan tetamu yang hadir.

Tambahnya, amalan seperti itu sepatutnya dihentikan kerana Nabi Muhammad SAW sendiri sangat memuliakan majlis perkahwinan.

Begitupun, memetik pula laporan mStar, difahamkan bahawa pengantin lelaki tidak terasa hati dengan tindakan rakan-rakannya itu.

Bagaimanapun, pengantin lelaki berkenaan menzahirkan permohonan maaf dan turut meminta maaf bagi pihak rakan-rakannya atas rasa tidak selesa masyarakat apabila melihat video berkenaan.