HIBURAN

Sel Kanser Kembali Aktif, Elyana Elak ‘Oversharing’ Soal Kesihatan - “Jangan Fikir Sakit Nanti Semua Benda Tak Jadi”

Mya Amri 28/02/2025 | 06:25 MYT
Penyanyi, Elyana mendedahkan sel barah tersebut kembali aktif selepas berhenti menjalani kimoterapi.

Sel kanser kembali aktif
Menurut Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal, 39, sel kanser tersebut kembali 'hidup' disebabkan dia tidak meneruskan rawatan kimoterapi seperti saranan doktor.
"Masa kimoterapi terakhir saya, kira-kira tiga tahun lalu, doktor beri tahu sel kanser sudah tiada tetapi dia sarankan untuk sambung buat kimoterapi.

"Namun saya jenis tak dengar cakap, ingat nak berehat dan tarik nafas dahulu sebab dah terlalu kerap dan lama buat kimoterapi.

"Dua tahun kemudian, saya pergi buat kimoterapi balik. Apabila buat pemeriksaan, doktor nampak sel hidup balik. Nasib baik saya cepat buat kimoterapi," jelasnya.
Elyana berkata demikian ketika ditemui semasa majlis perasmian Festival Ramadan Selangor 2025 di SACC Mall, Shah Alam, pada Khamis.

Kesihatan dalam keadaan baik, berdamai dengan takdir

Bagaimanapun, Elyana memaklumkan kesihatannya dalam keadaan baik dan sudah menerima takdir yang harus dijalani demi membesarkan dua puterinya.
"Setakat ini kesihatan saya pun tiada masalah, boleh menyanyi lagi. Bila sakit, emosi kadang-kadang ada naik dan turun, saya kena belajar kawal lagi perasaan tersebut.

"Saya sakit dah sangat lama dan sekarang saya sudah berdamai dengan keadaan, ini ujian hidup saya. Jangan fikir sakit, nanti semua benda tak jadi.

"Sakit hanya sekadar sakit, hidup harus diteruskan. Anak-anak perlu diberi makan dan pelajaran yang baik, jadi kena semangat dalam meneruskan kehidupan," ujarnya.

Elak oversharing

Ditanya mengenai jarang berkongsi keadaan kesihatan, Elyana akui mudah terasa dengan kata-kata netizen sehingga membuat keputusan untuk tidak lagi memuat naik hal peribadi secara berlebihan.

"Terasa hati memang ada, tipu kalau kata tiada tetapi saya sedar dahulu saya terlebih berkongsi.

"Ada orang akan ambil positif dan juga ada yang ambil negatif. Bila tengah sakit, saya tidak boleh mengendalikan komen buruk.
"Jadi sekarang, lebih baik saya kongsi apa yang patut sahaja," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:Mula Jalani Kemoterapi, Elyana Kurang Senang Netizen Sering Tanya Soal Kanser – “Bila Ada Yang Tak Kena, Orang Maki Hamun Saya”

ARTIKEL BERKAITAN:Elyana Dedah Lamar Suami, Tak Kisah Dilabel Perigi Cari Timba - “Lantaklah Orang Nak Cakap…”

ARTIKEL BERKAITAN:[VIDEO]"Ini Kertas Will You Marry Me Yang..."- Elyana Dedah Lamar Suami 12 Tahun Lalu

ARTIKEL BERKAITAN:“Sejahat Apa Pun Kita, Tetap Allah Di Hati” - Elyana Akui Berusaha Jadi Orang Baik Setiap Hari

ARTIKEL BERKAITAN:“Inilah Saya… Jika Anda Boleh Menerima Saya, Alhamdulillah” - Elyana Perjelas Status Sudah Tidak Berhijab

Terdahulu, Elyana sebelum ini disahkan bebas kanser limfoma pada Disember 2021.
Sebelum ini, Elyana pernah meluahkan rasa kecewa apabila perkongsiannya tentang menjalani rawatan kemoterapi mendapat kecaman daripada netizen.
Malah, dia juga pernah mengatakan tiada lagi hantaran mengenai perjalanan kemoterapi ekoran kejadian itu.
#Elyana #Kanser #Kimoterapi