Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Selain Kerbau Guling, Ini 4 Lagi Kuih 'Haiwan' Anda Perlu Tahu

Hanafis Haris
30/05/2018 05:05 MYT
Baru-baru ini tular di media sosial terutamanya di negeri Kelantan apabila kuih kerbau guling menjadi tumpuan penduduk di sana.

Bukan kerana rasanya semata-mata, sebaliknya lebih kepada nama kuih itu sendiri. Unik dan agak baru dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Namun apa yang pasti, masyarakat Melayu sememangnya sudah sinonim dengan nama kuih yang unik dan pelik-pelik.

Anda boleh lihat contoh kuih puteri mandi, butir nangka, nekbat atau cek mek molek. Majoriti kuih ini hanya muncul pada waktu puasa dan pada sambutan aidilfitri.

Namun, tahukah anda kerbau guling ini bukanlah satu-satunya kuih yang menggunakan nama haiwan. Ada 4 lagi yang anda perlu tahu.

#1 GELEMBUNG BUAYA


Menyebut nama haiwan ini saja sudah pelik, apatah lagi untuk menjamahnya.

Berbanding kuih lidah buaya yang agak jauh daripada warna lidah itu sendiri, kuih ini sedikit mirip dengan buaya kerana berwarna hijau.

Cuma tidak dipastikan mengapakah warna merah diletakkan di bahagian atas kuih ini. Mungkin untuk membangkitkan selera kuih itu sendiri.

Jika anda tertanya rasa kuih ini, ia mirip kepada rasa dodol dengan tambahan rasa kelapa.

Ramuan: Kelapa parut, gula, tepung beras, pes pandan dan sedikit pewarna.

#2 KUIH ULAT BULU


Sekali imbas memang rupa kuih ini mirip kepada ulat bulu. Lengkap dengan kelapa parut yang menjadikan kuih ini lebih berbulu.

Namun jika dua kali imbas, anda pasti membayangkan kuih melaka bukan?

Tidak dinafikan kuih ini agak sama dengan kuih melaka dan hanya bentuk dan saiznya saja membezakan daripada kuih kegemaran rakyat Malaysia itu.

Malah cara untuk membuat kuih ini juga sama dengan kuih melaka. Bagi anda yang mahukan kelainan, mungkin boleh membentuk adunan seperti ini supaya ia lebih kelihatan seperti ulat bulu!

Ramuan: Tepung pulut, tepung gandum, air pandan, kelapa parut dan semestinya gula melaka.

#3 KUIH TAHI ITIK


Jangan 'judge' kuih ini berdasarkan namanya. Mungkin ia sedikit geli untuk disebut, namun ia tidaklah seperti bentuk asal nama kuih ini.

Jika di semenanjung, kuih ini tidaklah popular. Malah ia jarang dijual di pasar ataupun bazar. Hakikatnya kuih ini hanya popular di pantai timur seperti Kelantan dan Terengganu.

Kalau anda nak tahu mengapa ia dinamakan tahi itik, ia sebenarnya diperbuat daripada telur putih haiwan berkenaan.

Putih telur itik ini akan dimasak bersama gula pekat sebelum ia dituang bagi menghasilkan tekstur seperti gambar di atas.

Jika ada melihat tekstur ini, mungkin anda boleh mengagak mengapakah ia dinamakan kuih tahi itik.

Ramuan: Telur itik (putih), santan, gula, tepung pulut, tepung beras.

#4 KUIH BRONOK


Ya, kuih ini adalah kuih sagu yang anda sedia maklum. Namun bagi sesetengah tempat khususnya di utara, ia lebih dikenali sebagai kuih beronok.

Menu ini memang sudah popular dan boleh didapati biarpun bukan pada bulan Ramadan.

Jika anda tidak mengenali rupa bentuk bronok, ia sebenarnya sejenis haiwan laut yang banyak didapati di Langkawi.


Rupa paras bronok agak bujur dengan lapisan kulit yang licin dan kenyal. Ia juga kelihatan seperti gamat dan tinggal di kawasan pantai yang berlumpur.

Jangan terkejut kerana bronok juga digunakan dimakan secara mentah dan dijadikan kerabu. Ia antara makanan eksotik masyarakat Langkawi.

Ramuan: Sagu, gula, pewarna merah dan kelapa.

# 5 KERBAU GULING


Kuih ini sudah pun popular di seluruh Malaysia. Namun pada yang tidak tahu, inilah rupa bentuk kerbau guling.

Melihat warna kuih ini yang hitam pekat, mungkin kita sudah terbayang warna kulit kerbau.Hirisan kelapa parut yang melekat di atas kuih pula mungkin menggambarkan kerbau ini telah digulingkan.

Maka teori mengapa nama kuih ini dinamakan sebegitu mungkin sudah terjawab.

Kuih ini dikatakan berasal dari Thailand dan lebih dikenali dengan nama kuih hitam. Hanya di Malaysia saja ia dipanggil kerbau guling.

Menurut peniaga asalnya, kuih ini dipanggil sebegitu kerana kuih ini digolekkan di dalam kelapa parut seperti kerbau yang berendam.

Ia kemudian dimasukkan ke dalam laman sosial menyebabkan netizen memanggilnya kuih kerbau guling. Maka dengan bantuan media sosial, nama kuih yang baru telah pun diwujudkan.

Ramuan: Tepung jagung, tepung pulut, tepung beras, kapur makan, gula, tempurung bakar, santan dan kepala parut.
#Kuih Tradisional