Filem adiwira Marvel, Shang Chi And The Legend Of The Ten Rings (Shang Chi) sudah pun mula ditayangkan di kebanyakan negara di seluruh dunia. Namun, disebabkan kes harian COVID-19 di Malaysia masih lagi tinggi, peminat sedikit kecewa apabila tidak dapat menyaksikan filem adiwira Asia Marvel yang pertama ini di pawagam.

Justeru, sementara menunggu pawagam kembali dibuka, apa kata kita semak fakta menarik tentang seorang lagi pelakon Malaysia, iaitu Ronny Chieng yang turut sama membintang filem Shang Chi bersama Tan Sri Michelle Yeoh.

Dilahirkan pada 21 November 1985 di Johor Bahru, Ronny Chieng atau nama sebenarnya Ronny Xin Yi Chieng mendapat pendidikan awal di Fuchun Primary School, Singapura. Ketika itu, Ronny masih tinggal di Johor dan berulang-alik ke Singapura setiap hari untuk hadir ke sekolah.



Kemudian, Ronny melanjutkan pelajarannya di Pioneer Secondary School dan Pioneer Junior College di republik itu. Ronny merupakan pemegang Ijazah Perundangan dan juga Ijazah Kewangan daripada University of Melbourne di Australia.

Karier Ronny sebagai pelawak bermula pada 2013 selepas dia membuat persembahan dengan pelawak popular, Traver Noah di sebuah festival komedi di Melbourne, Australia.

Ronny kemudiannya mengembangkan sayap karier ke bidang lakonan dengan membintangi drama bersiri komedi berjudul Problems. Langkahnya sebagai aktor diperkemas apabila Ronny diberi peluang untuk menjayakan watak Eddie menerusi filem pecah panggung Crazy Rich Asians pada tahun 2018 dan seterusnya Godzilla vs Kong (2021) dan terbaharu Shang Chi And The Legend Of The Ten Rings.



Menerusi filem tersebut, Ronny memegang watak Jon Jon, seorang pemilik kelab malam yang turut bersahabat dengan watak utamanya lakonan Simu Liu dan Awkwafina.

Ronny yang ditemu bual oleh CNA berkata, watak Jon Jon mirip watak seorang Ah Beng iaitu gelaran yang diberikan kepada lelaki di Singapura yang suka bergaya dengan pakaian mahal dan suka bercakap dalam nada yang tinggi.

“Jika kamu menonton filem ini, dia memang seorang Ah Beng! Kamu tahu, sewaktu berlakon saya perlu bertutur dalam bahasa Cina.

"Sampai satu tahap, saya tersasul dan tercakap sedikit dialog dalam Bahasa Melayu. Jon Jon memang sangat Ah Beng!” ujar Ronny lagi.



Shang Chi And The Legend Of The Ten Rings mula ditayangkan di Amerika Syarikat pada 3 September 2021. Antara pelakon yang membintangi filem ini termasuklah Simu Liu, Awkwafina, Benedict Wong dan Michelle Yeoh.