Isha Norsham Selamat Bertunang, Bakal Bernikah Oktober Ini - "Doakan Yang Baik-Baik..."
Pengacara dan penyampai radio ERA, Isha Norsham selamat mengikat tali pertunangan dengan jejaka pilihan hatinya dalam satu majlis tertutup yang berlangsung pada Jumaat lalu.
Majlis pertunangan yang diadakan secara sederhana dihadiri oleh ahli keluarga serta rakan terdekat kedua-dua pihak.
Isha atau nama lengkapnya, Nurul Farisha Norsham, 29, tampil anggun menggayakan busana berwarna putih dan merah jambu rekaan pereka fesyen Haszhishaam.
Ketika ditemui Gempak, Isha meluahkan rasa syukur dan teruja untuk melangkah ke fasa baharu dalam kehidupannya.
“Alhamdulillah, hari ini merupakan hari yang sangat bermakna buat saya. Tak sangka sudah sampai ke fasa seterusnya. Saya harap semua dapat mendoakan yang baik-baik buat saya dan pasangan,” ujarnya.
Dalam majlis berkenaan, pihak Isha menerima lima dulang hantaran dan membalas dengan tujuh dulang kepada pihak lelaki.
Menambahkan lagi kemanisan detik istimewa itu, bakal ibu mentua Isha turut menyampaikan sejambak bunga orkid sebagai simbolik menyambut kehadiran Isha sebagai ahli baharu dalam keluarga.
Difahamkan, pasangan ini merancang untuk melangsungkan majlis pernikahan mereka pada bulan Oktober depan.