Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Selamat Tiba Di Australia Dengan Anak, Dayah Bakar Rasa Bercampur Baur Selepas Setahun Tak Jumpa Suami

Zulaikha Yusof
06/01/2021 04:30 MYT
Pengacara Dayah Bakar, 32, meluahkan rasa syukur selepas selamat tiba di Australia semalam bersama dengan anak lelakinya, Achbar Muhammad Fahri
yang berumur empat bulan.

Ini adalah kali pertama Fahri akan bertemu empat mata dengan ayahnya, Muhammad Hanif Hamidi selepas dilahirkan pada Ogos tahun lalu.

"Alhamdulillah saya dah selamat sampai di Aussie. Sekarang di fasa kuarantin selama 14 hari. Insya-Allah, keluarga kami akan bertemu selepas selesai jalani kuarantin," tulisnya menerusi kiriman WhatsApp kepada Gempak.

Tambah Dayah, dia tidak dapat mengungkap perasaan yang dirasai selepas kali terakhir berjumpa dengan suami pada 6 Januari 2020.

"Susah nak ungkap perasaan sebab bercampur baur. Saya bersyukur, gembira, teruja, gementar, sebak pun ada.

"Masa kali terakhir saya lambai di lapangan terbang, hanya saya dan Hanif tetapi sebenarnya waktu itu Fahri dah ada. Hari ini cukup setahun saya tak jumpa dengan Hanif," katanya.

Dalam pada itu, Dayah atau nama sebenarnya Nur Hidayah Abu Bakar akui persiapan untuk perjalanan jauh ini lebih tertumpu kepada Fahri.

Katanya, lebih mencabar disebabkan pandemik Covid-19 dan mereka berdua terpaksa menjalani kuarantin kendiri di negara asing.

"Saya fly berdua sahaja dengan Fahri. Persiapan itu memang particular sebab saya bawa bayi. Dengan usianya baru empat bulan, pandemik lagi, prosedur memang banyak.

"Untuk kuarantin berdua saja dengan Fahri, memang saya kena sedia segalanya barang dia. Fokus saya semuanya untuk Fahri.

"Saya tak fikir persiapan panjang, 14 hari ini yang penting. Sebab tak boleh nak berinteraksi dengan orang luar," katanya lagi.

Dayah dan Fahri akan menetap bersama Hanif di Australia selama setahun.

Terdahulu, Dayah berkahwin dengan Hanif pada Jun 2018. Pasangan ini dikurniakan Fahri pada 17 Ogos 2020.

#Australia #Hanif #Dayah Bakar #Fahri
;