Kumpulan nasyid Dzil Afnan membuat keputusan untuk kembali aktif dalam industri nyanyian selepas 15 tahun menyepi.

Menurut ketua kumpulan iaitu Mohd Ridzuan dia berasa terharu kerana Hazamin Inteam bersetuju untuk berduet dalam single terbaharu mereka, Bahagia Sejati.

"Alhamdulillah ia dapat dilakukan dengan bantuan dan sokongan Hazamin sebagai rakan duet.

"Kami terharu anggota nasyid popular itu tidak memandang kami sebelah mata, biarpun kami sudah lama menyepi dan jauh ketinggalan.

"Rakaman single Bahagia Sejati ini dilakukan di Studio Inteam dengan menggunakan khidmat Wan Saleh sebagai penyusun muzik dan Shah Slam selaku pemain gitar utama.

"Diakui, kami mengambil masa berbelas tahun untuk menghasilkan single terbaharu, tetapi akhirnya berjaya dilaksanakan juga," katanya ketika ditemui Gempak.

Dzil Afnan dianggotai Mohd Amin Ismail, Mohd Taufiq Abdullah, Mohd Ridzuan Azuzan dan Wan Amiruddin Wan Ismail.

Kumpulan yang berasal dari Utara ini ditubuhkan sejak tahun 2005 dan memiliki album berjudul Langkah Pertama.

Tambah Mohd Ridzuan, dia tidak memilih Hazamin semata-mata untuk kejar populariti.

"Saya sendiri ada hubungan peribadi dengan Hazamin bukan sekadar dalam nasyid semata-mata.

"Dzil Afnan juga tidak mempunyai niat untuk menumpang populariti Hazamin tetapi cuma berkongsi kekuatan," katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohd Ridzuan mendedahkan single itu mendapat sambutan di luar jangkaan serta rata-ratanya memberi respon positif termasuk daripada kalangan peminat Inteam.



Dzil Afnan turut melancarkan pertandingan Bahagia Sejati Cover Challenge iaitu nyanyian semula single berkenaan di media sosial.

Mereka menawarkan hadiah utama wang tunai RM300 dan penginapan di sebuah homestay di Cameron Highland.

Muzik video Bahagia Sejati menampilkan pelakon berpengalaman iaitu Shamsul Ghau Ghau, Hazamin dan Dzil Afnan.

Single Bahagia Sejati dilancarkan pada 7 Ogos lalu di laman Youtube Inteam Digital. Sehingga kini, ia sudah melebihi 46,000 tontonan.