Hiburan
"Selepas 20 Tahun, Saya Tak Sangka Ada..." - Kendali Program Masakan, Elly Mazlein Syukur Rezeki Tak Putus
Selebriti serba boleh, Elly Mazlein atau nama sebenarnya, Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 39, bersyukur kerana rezekinya dalam bidang hiburan tidak pernah putus.
Semenjak menyertai program realiti Gegar Vaganza musim ketiga pada 2016, wajahnya wanita yang mesra dipanggil Kak Lina Pom Pom ini sering menghiasi kaca televisyen sehingga menempa populariti sehingga sekarang.
"Alhamdulillah, saya rasa sangat bersyukur kerana rezeki tak pernah putus, sentiasa ada.
Advertisement
"Saya juga tidak memilih tawaran, asalkan bersesuaian, saya akan menjalankan kerja dengan seikhlas hati.
"Syukur, selepas 20 tahun terlibat dalam bidang seni, saya tak sangka akhirnya saya ada program dengan nama sendiri iaitu Senduk Kuali Kak Lina Pom Pom.
"Ini merupakan pengalaman pertama saya mengendalikan rancangan berbentuk masakan. Saya gementar tetapi teruja kerana saya sendiri gemar ke dapur," katanya.
Kak Lina ditemui di majlis sidang media dan MOU program Senduk Kuali Kak Lina Pom Pom antara produksi Mache All Star United Sdn Bhd dan Minyak Masak Kijang Gold di Bangi, baru-baru ini.
Program Senduk Kuali Kak Lina Pom Pom bakal bersiaran sepanjang Ramadan tahun 2021 di RTM.
Dalam pada itu, Kak Lina juga sudah bersedia jika ada peminat yang mahu membandingkan rancangan Senduk Kuali Kak Lina Pom Pom dengan program masakan lain.
"Saya sedar, mesti ada perbandingan. Tapi, saya memandangnya dari sudut positif. Beri program ini peluang dan sekiranya ada komen yang membina, saya terima dengan berlapang dada.
"Saya bersedia dan tak kisah dibandingkan, sekurang-kurangnya saya dapat belajar untuk memperbaiki apa yang kurang.
"Saksikan kelainan yang bakal kami bawakan. Selain menjemput artis undangan, kami selitkan cabaran dalam setiap episod demi memeriahkan lagi kandungan program," katanya lagi.
Must-Watch Video