Laman Utama
"Selepas 22 Tahun Dalam Industri, Ini Pertama Kali Saya..." - Fizz Fairuz
Pelakon terkenal, Datuk Fizz Fairuz mencipta kelainan menerusi lakonannya dalam drama bersiri Tanya Sama Pokok yang akan menemui anda tidak lama lagi.
Menurut Fizz, dia menggunakan loghat Pahang untuk pertama kali dalam lakonannya selepas 22 tahun berkecimpung dalam industri hiburan.
"Selama 22 tahun berkecimpung dalam industri hiburan, inilah pertama kali saya menggunakan loghat Pahang dalam lakonan saya, sebelum ini saya hanya tunjuk di media sosial sahaja.
"Dalam Tanya Sama Pokok, saya membawa cara percakapan orang Raub, saya pun berasal dari Pahang jadi memang saya boleh lakukannya.
"Kebiasaannya, kebanyakan drama akan menengahkan loghat negeri seperti Kelantan, Kedah ataupun Terengganu, jarang kita lihat pelakon membawa loghat Pahang," katanya kepada Gempak.
Tambah Fizz, walaubagaimanapun, dia menggunakan loghat Pahang yang mudah difahami dalam drama bersiri berkenaan.
"Untuk membuatkan penonton senang faham apa yang saya perkatakan dalam drama ini, jadi, saya memilih perkataan dan loghat yang mudah difahami, tiadalah sampai terlalu janggal atau tidak pernah didengar langsung oleh orang ramai," katanya lagi.
Selain Fizz, drama bersiri arahan Sabri Yunus ini juga menampilkan barisan pelakon terkenal lain seperti Mona Allen, Sabri Yunus sendiri, Angeline Tan, Sara Ali, Camelia Natasya dan ramai lagi.
Ia akan menemui anda bermula 21 September 2020, setiap Isnin, jam 9.00 malam di Astro Warna (saluran 127) dan Warna HD (saluran 107).
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya!