Selepas rakaman Elly Mazlein menyanyikan lagu Empat Dara menjadi tular baru-baru ini, syarikat rakaman Faithful Music menerbitkan semula lagu tersebut.

Keputusan tersebut dibuat selepas melihat permintaan netizen yang mahukan Elly Mazlein dan Faizal Tahir menyanyikan semula lagu tradisional itu.

Diberi judul Empat Dara 2020, selain Elly Mazlein dan Faizal Tahir, Zizi Kirana turut diundang bergandingan dengan mereka termasuk dalam video muzik (MV) lagu ini.

“Tak sangka ia mendapat perhatian sampai macam tu sekali, niat saya cuma satu, saya nak buat orang gembira. Bila orang lain gembira, saya turut tumpang gembira.

“Paling tak percaya Empat Dara 2020 menjadi kenyataan,” kata Elly teruja.

Sementara itu Zizi Kirana pula berkata, dia tidak berfikir dua kali selepas diberikan tawaran oleh Faithful Music

"Bila Faizal Tahir melayangkan tawaran untuk bekerjasama dengan Elly, saya tak fikir dua kali dah.

“Faizal ada beritahu yang kerjasama ini disifatkan sebagai projek gila-gila dan saya sangat teruja!,” katanya.

Dalam pada itu, Faizal Tahir hanya menjawab ringkas ketika ditanya mengenai kerjasamanya dengan Elly Mazlein dalam projek tersebut.

“Dah dia (Elly) mintak masuk, kita masuk lah!,” jawabnya.

Selari dengan tajuknya, Empat Dara 2020 bakal memberikan nafas baru dan sesuatu yang segar kepada pendengar tanpa menghilangkan elemen tradisional pada lagu tersebut.

Video muziknya juga ringkas dengan membawa konsep komedi yang ringan.

Empat Dara adalah karya asal oleh Atan Ahmad dan Ahmad Jusoh manakala versi terbaru ini mendapat sentuhan bersama Faizal Tahir, Mage, Mike Chan dan Mambang.

Terdahulu, Faizal Tahir telah menyahut cabaran Elly Mazlein dengan memuat naik sedutan ketika mempersembahkan lagu Empat Dara di salah sebuah rancangan television.

Klip tersebut telah mendapat perhatian netizen yang rata-rata mahukan Elly dan Faizal menyanyikan semula lagu tersebut.

Geram betul ..ari tu adik dia @aanastahirr .. ni abg dia pulak buat hal @faizal_tahir plak dtg melawan.. tngu jap .. tp mcm x aci sikit ??? . #Repost @faizal_tahir (@get_repost) ・・・ 11 tahun saya tunggu orang panggil saya masuk. Terima kasih @iamellymazlein

A post shared by ?SaraAzlan? (@iamellymazlein) on

Sebelum itu gelagat Elly Mazlein atau Kak Lina Pom Pom mencuri perhatian peminat apabila memuat naik sepotong rakaman video menyanyikan lagu tradisional tersebut di laman Instagram.

Elly turut mencabar netizen untuk menyanyikan semula lagu terbabit mengikut versinya dan menawarkan wang saguhati RM100 bagi video terbaik.

Cabaran Elly itu mendapat reaksi daripada netizen termasuk rakan selebriti yang turut merakamkan semula lagu Empat Dara dalam versi tersendiri.

Antaranya adalah Datuk Aznil Nawawi, Achey, Acong Sweetchild, Datuk Fizz Fairuz, Shiha Zikir, Azza Elite dan Ezad Lazim. Video tersebut kini menghampiri 2 juta tontonan dan lebih dari 200,000 komen.

Empat Dara 2020 merupakan lagu terbitan Faithful Music dengan kerjasama Universal Music Malaysia sebagai pengedar.

Lagu ini sudah boleh didapati di semua pelantar muzik digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBox, Deezer dan juga iTunes bermula 11 November 2020.

Manakala video muzik rasmi Empat Dara 2020 juga boleh ditonton di saluran YouTube Faizal Tahir.

Selepas 10 jam dimuatnaik, MV Empat Dara 2020 telah ditonton sebanyak 200,542 kali. Rata-rata netizen memberikan komen positif dan terhibur dengan lagu yang telah diberi nafas baru itu.