Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Selepas Isu Stoking Kalimah Allah, KK Supermart Jementah Pula Diarah Tutup Sebab Tak Asingkan Minuman Keras

Gempak
22/03/2024 01:55 MYT
Kedai serbaneka KK Supermart & Superstore (KK Supermart) cawangan Jementah, Segamat diarah menutup operasi serta-merta selepas dikesan tidak mengasingkan minuman keras dan minuman biasa di premis itu, kelmarin.

Memetik laporan Berita Harian, arahan tersebut dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Segamat (MPS) susulan pemeriksaan dilakukan semalam yang turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Agama Islam Segamat dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Minuman keras disorok

Malah, pemeriksaan lanjut menemukan minuman keras yang disorok dalam premis tanpa lesen sah daripada MPS sebelum 196 botol minuman keras disita selaras peruntukan Undang-Undang Kecil 50 (1) Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (MDS) 2017.

"Premis tersebut diberi arahan menutup operasi serta-merta selaras peruntukan Undang-Undang Kecil 49 (2), Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (MDS) 2017, kerana dikesan tiada pengasingan dibuat bagi minuman keras dan minuman biasa.

"Bagaimanapun, pemeriksaan ke atas premis itu mendapati tiada penjualan atau penyimpanan stoking yang menulis kalimah ALLAH," katanya melalui kenyataan di Facebook.

80 premis KK Supermart diserbu

Semalam sejumlah 80 premis perniagaan termasuk rangkaian kedai serbaneka KK Supermart yang dikaitkan dengan penjualan stoking tertera kalimah Allah dilaporkan diserbu Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Pengerusi Jawantkuasa Hal Ehwal Agama Islam, Mohd Fared Mohd Khalid dilaporkan berkata, operasi bersepadu besar-besaran itu membabitkan semua 10 daerah di negeri ini dan diadakan secara serentak.

Operasi bersepadu turut membabitkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Pejabat Kadi Daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan menumpukan rangkaian kedai yang menjual pakaian dan alat tulis.

Operasi bersepadu itu adalah langkah agresif dan segera diambil JAINJ sebagaimana titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, berkenaan kalimah ALLAH yang perlu sentiasa dimuliakan.

Sumber: Berita Harian

BERITA TRENDING: Orang Muslim Tak Boleh Berada Di Tempat Sajikan Arak? Ini Jawapan Dr Zulkifli Al-Bakri!

BERITA TRENDING: "Bila Orang Lain Judi, Minum Arak, Korang Tutup Sebelah Mata" - Syamimia Menangis, Masih Dikecam Sampai…

#Kalimah Allah #Stoking #Tutup #Operasi #Arak #Diserbu #KK Mart #Jementah