Selepas kemenangan besar Tan Sri Michelle Yeoh di Oscar, seorang lagi anak Malaysia iaitu Aliza Ali yang merupakan CEO kepada Chatime Malaysia telah mencatat satu lagi pencapaian buat Malaysia.

Aliza telah menjadi wanita Malaysia pertama yang dijemput sebagai penyampai di Bursa Saham Hong Kong (HKEX).

Ini merupakan satu kejayaan bagi anak tempatan kerana berjaya membawa nama Malaysia sebaris dengan jenama terkemuka dunia seperti ALIBABA dan Yum China (KFC & Pizza Hut).

Bermula pada tahun 2011 dengan hanya dua cawangan Chatime, kini terus berkembang dengan lebih 100 cawangan.

Aliza juga telah memperkenalkan tiga lagi jenama terbarunya iaitu Hello (frozen yogurt), Hotbox (sausage, fries) dan GoBerry iaitu minuman suplemen kesihatan yang bakal dikembangkan bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di Indonesia dan Singapura.

Sekaligus, membuktikan bahawa Aliza terus komited memberikan saingan kepada jenama lain yang berada dipasaran.

“Saya bersyukur dengan pencapaian ini. Saya bangga dengan kerja keras, dedikasi, dan pengorbanan yang dilakukan untuk mencapai ke tahap ini.

“Saya juga mengakui bahawa saya tidak dapat melakukannya sendiri. Sokongan dan dorongan keluarga, sahabat, pasukan dan mentor saya sangat berharga.

“Pencapaian ini bukan hanya merupakan tonggak peribadi, tetapi juga bukti ketekunan dan tekad.

“Ini adalah pengingat bahawa, tidak kira betapa menakutkan cabaran yang muncul, kita dapat mengatasinya melalui kerja keras dan fokus yang konsisten,” jelasnya.