Kelantan negeri terbaru diisytihar zon hijau Covid-19 apabila tiada kes aktif dikesan di negeri itu setakat 12 tengah hari semalam.

Sebelum ini, Perlis muncul sebagai negeri pertama zon hijau kerana merekodkan kes jangkitan sifar bagi tempoh melebihi dua minggu.

Bagaimanapun, kedua-dua negeri itu masih belum boleh diisytihar bebas Covid-19.

Menerusi infografik Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), zon hijau terus bertambah 85 daerah setakat semalam berbanding 77 daerah hari sebelumnya.

Perak, Pulau Pinang dan Kedah antara tiga negeri mencatatkan kes aktif dengan satu digit iaitu masing-masing dua, lima dan empat kes.

Sementara itu, jumlah zon merah kekal 12 kawasan walaupun terdapat pertambahan 31 kes baharu Covid-19 di negara ini setakat jam 12 tengah hari semalam.

CPRC melaporkan, Kuala Lumpur masih kekal menjadi negeri tertinggi mempunyai jumlah kes positif Covid-19 yang aktif iaitu 484 kes dan kawasan Lembah Pantai mendominasi jumlah kes iaitu sebanyak 298 kes aktif.

Semua daerah di Kuala Lumpur masih dikategorikan sebagai zon merah kecuali Cheras yang kini diletakkan sebagai zon kuning kerana terdapat penurunan kes aktif iaitu kini hanya 33 kes.

Selain itu, Sarawak turut mencatatkan kedua tertinggi kes positif Covid-19 yang masih aktif di zon merah iaitu 233 kes, diikuti Johor sebanyak 132 kes, Selangor pula 118 kes, Negeri Sembilan (74), Pahang (42) dan Melaka (48).

Selain itu, di beberapa negeri lain turut mempunyai kes aktif antaranya Terengganu 39 kes dan Pahang 60 kes.

Sehingga kini, Malaysia mencatatkan sebanyak 5,851 kes dan daripada jumlah berkenaan 1,719 kes masih aktif.

Sumber: Harian Metro