Pelakon Raf Yaakob berkongsi kepada umum kad ucapan sempena ulang tahun kelahirannya yang sudah disimpan sejak sedekad yang lalu.

Lebih istimewa, kad ucapan yang dicoret menggunakan tulisan tangan itu merupakan kenangan pemberian arwah ayahnya, Datuk Yaakob Mohammad.

Menurut suami kepada pelakon Mawar Rashid itu, dia cukup sayu apabila membaca semula isi kandungan kad ucapan yang diterima pada 9 Januari 2010 daripada insan yang cukup bermakna dalam hidupnya.

"Raf saja buka balik kad birthday yang arwah bapa beri 10 tahun lepas. Cuba korang baca, rasa sayu je di hati ini," tulisnya dalam satu hantaran di Instagram.

Antara bait tulisan bapanya itu adalah nasihat kepadanya dalam mencari pasangan hidup.

“Dalam usaha mencari seorang isteri yang solehah dan seadanya amatlah sukar ditemui. Tiada insan yang diciptakan oleh Ilahi yang serba serbi sempurna sifatnya.

"Berdoa dan bersabarlah di dalam pencarian seorang isteri yang boleh melahirkan zuriat yang diredhai Allah Swt. Tiada yang manis itu madu dan tiada yang pahit itu racun," pesan bapanya.

Bahkan, bapanya turut meminta dirinya agar menjadi seorang individu yang berdisplin sebagai persediaan menjadi pemimpin keluarga.

"Perkuatkan lagi ilmu di dada dan perkemaskan lagi dirimu dari segi disipilin mencari rezeki agar ia menjamin kita lebih bertanggungjawab untuk menjadi seorang pemimpin dalam keluarga mahupun syarikat keluarga.

"Tanpa perubahan sikap tersbeut ia akan mempersulitkan dirimu untuk mengharungi gelombang dan badai yang semakin mencabar dalam kehidupan seharian," tulis bapanya itu.

Di ruangan komen, rata-rata kagum dengan usaha yang ditunjukkan bapanya dengan menulis kad ucapan untuk anaknya biarpun ketika itu Raf sudah berusia 25 tahun.

"The effort seorang bapa untuk menulis kepada anak lelakinya. Sebak baca," komen seorang netizen.

"Indahnya tutur kata bapa anda, bahasa orang Melayu nusantara zaman dulu-dulu memang hebat," tulis salah seorang pengikutnya.

Bapa Raf, Datuk Yaakob Mohammad meninggal dunia pada Februari 2016 pada usia 67 tahun akibat komplikasi paru-paru.

Dalam pada itu, jangan lupa untuk sama-sama mengundi artis kesayangan korang yang tercalon dalam Gempak Most Wanted di sini.

Undian akan ditutup pada 28 Disember, jam 6 petang. Jadi tunggu apa lagi? Jom undi!