Selepas tujuh hari tidak mengemaskini sebarang perkembangan di akaun media sosial, penceramah bebas Ebit Lew kembali berkongsi mengenai kerja amalnya hari ini.

Memuat naik hantaran terbaru kira-kira jam 11.50 pagi tadi, perkongsian tersebut telah mendapat sokongan ramai pengikut di laman sosial Instagram dan Facebook.

Rata-rata mengucapkan selamat kembali dan tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat kepada Ebit.

“Tak hidup dipuji, tak kalah dek keji , jika hidup kerana Ilahi. Jalan terus ustaz,” tulis Nurul Azrin.
“Yeah….Ustaz Ebit sudah kembali!!! Alhamdulilah,” kata Isza VR.

“Alhamdulillah ustaz...MasyaAllah…Semoga keberkatan akan bertambah lagi dan lagi...Ustaz banyak peluang untuk tidak digelar muflis di akhirat nanti...Doakan saya juga mempunyai peluang yang sama....Amin,” kata Faysal Al-syahy pula.

Ebit menerusi hantaran tersebut berkongsi tentang pembukaan Rumah Kasih Umat yang dijadikan transit bagi anak-anak kanser.

A post shared by Ebit Lew (@ebitlew)


Terdahulu, kecoh di media sosial apabila ramai mempertikaikan tentang beberapa perkara selepas Ebit membuat sesi live di Instagram dan Facebook ketika menjawab persoalan melibatkan dirinya.

Antara dakwaan yang dilemparkan terhadap Ebit ialah beliau melarikan dokumen permohonan ke Gaza seorang diri.

Ebit yang selama ini sangat dikagumi dan dihormati ramai kerana sentiasa menghulur bantuan kepada rakyat Malaysia berlepas ke Mesir pada 25 Mei lalu untuk menjayakan misi bantuan kemanusiaan dengan menyampaikan sumbangan kepada rakyat Palestin yang terjejas akibat serangan Israel.

Misi itu mendapat kelulusan perjalanan dan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) semasa yang perlu dipatuhi termasuk apabila kembali ke Malaysia.