Selepas kejayaan filem A Star Is Born yang mendapat tempat di hati peminat, penyanyi pop sensasi Lady Gaga dikhabarkan akan terlibat dengan filem baharu yang menguji bakatnya dalam dunia lakonan.

Menurut laporan Astro Awani, Gaga dikatakan akan memegang watak utama dalam filem yang mengangkat kisah keluarga dan skandal pembunuhan dinasti perindustrian fesyen popular, Gucci.

Bagaimanapun, filem itu masih belum diberi judul rasmi.

Penyanyi pop berusia 33 tahun itu akan membawa watak Patrizia Reggiani iaitu bekas isteri Maurizio Gucci yang didapati bersalah kerana mendalangi pembunuhan bekas suaminya, Maurizio Gucci.

Reggiani dihukum penjara selama 18 tahun dan semasa perbicaraannya, dia digelar sebagai "Black Widow” oleh wartawan hiburan.

Pada 2016, dia dibebaskan dari penjara.

Skrip filem mengenai kisah pembunuhan Gucci ini ditulis Roberto Bentivegna dan ia berdasarkan daripada buku "The House of Gucci a Sensational Story of Murder, Madness, Glamour, and Greed” yang ditulis oleh Gay Forden.

Ini merupakan filem kedua yang menampilkan Gaga sebagai pelakon utama.

Sebelum ini, menerusi A Star Is Born, Gaga dicalonkan untuk kategori pelakon wanita terbaik selain menang Oscar bagi lagu runut bunyi terbaik "Shalow" untuk filem tersebut.

Sumber: Astro Awani