Baru-baru ini kecoh di media sosial apabila ada yang mendakwa teknologi atau menara 5G yang dibina bakal menyebabkan penyakit kanser.

Isu ini bukanlah baru, sebaliknya andaian ini telah bergelumang dalam pemikiran masyaraat sejak internet dilancarkan.

Namun, adakah ia mitos atau benar-benar memberi impak negatif?

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Universiti Teknologi Malaysia Prof Dr Tharek Abdul Rahman yang dilaporkan media sebelum ini, teknologi 5G menggunakan frekuensi radio yang tidak menghasilkan sinaran berbahaya.

Jelasnya, orang ramai perlu faham bahawa radiasi ada dua jenis iaitu jenis mengion dan tidak mengion.

“Jenis yang boleh menyebabkan kanser adalah jenis mengion seperti sinar X dan radio aktif."Sinaran tak mengion dihasilkan 5G hanya akan menyebabkan kesan pemanasan yang tidak cukup untuk memberi kesan jangka panjang kepada tisu-tisu badan, " katanya.

Tambahnya, frekuensi radio yang dihasilkan teknologi 5G juga mempunyai tenaga 1,000 kali lebih rendah berbanding tenaga daripada matahari.

"Tenaga daripada matahari adalah dalam kategori selamat kerana ia radiasi tidak mengion, 5G pula 1,000 kali lebih rendah menunjukkan ia radiasi selamat.

"Berdasarkan laporan WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia), lebih 25,000 artikel penyelidikan di seluruh dunia yang diterbitkan dalam tempoh 30 tahun menunjukkan pendedahan kepada frekuensi radio berskala rendah atau sinaran tak mengion tidak memberi impak negatif kepada kesihatan manusia," katanya.

Dalam pada itu juga, 5G turut dikaitkan dengan konspirasi berkaitan penularan Covid-19.

Namun, dakwaan itu juga tidak benar dan anda boleh lihat kenyataan dikeluarkan laman Kementerian Kesihatan Malaysia di bawah.

Tular di aplikasi Whatsapp seperti yang terkandung di lampiran. Untuk makluman semua, maklumat ini adalah tidak benar dan tidak harus disebarkan.

Posted by KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA on Sunday, April 25, 2021

Apapun mitos atau dakwaan yang tersebar, orang ramai diharap tidak mempercayai bulat-bulat dengan perkara berkaitan rangkaian 5G.

Semoga teknologi ini dilancarkan segera di Malaysia!