Individu yang sudah lengkap menerima dua dos vaksin COVID-19 mungkin mendapat khabar gembira berkenaan pergerakan merentas negeri untuk bertemu keluarga tidak lama lagi.

Perkara itu sedang diperhalusi kerajaan dalam membenarkan pasangan atau keluarga jarak jauh merentas negeri untuk bertemu keluarga.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, beliau sering membawa isu berkenaan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar kelonggaran bertemu keluarga dapat dipertimbangkan.

"Sebagai seorang bapa, saya sedar betapa pentingnya institusi kekeluargaan itu kepada manusia.

"Walaupun atas faktor keselamatan, ibu atau bapa tidak sepatutnya terpaksa berpisah dengan anak-anak dalam tempoh yang terlalu lama.

"Lebih-lebih lagi jika ibu bapa berkenaan sudah pun menerima dua dos vaksin," katanya menerusi Facebook.

Kenyataan tersebut dibuat selepas menerima pelbagai komen warganet menyuarakan keluhan pasangan jarak jauh atau ibu bapa yang terpisah dengan anak-anak ekoran disebabkan merentas negeri.



Terdahulu, Ismail Sabri mengatakan kelonggaran kepada penerima dua dos vaksin akan diumumkan selepas Hari Raya Aidiladha.

Difahamkan, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) kini sedang menjalankan kajian teliti sebelum dibentangkan kepada kerajaan.