Penerbit dan pelakon Datuk A.Aida berharap agar aktor Mas Khan menjadikan tindakan mahkamah yang dikenakan terhadapnya sebagai pengajaran.

A.Aida turut mengingatkan kepada orang ramai bahawa negara Malaysia mempunyai undang-undang dan sesiapa sahaja tidak akan terlepas jika melanggarnya.

“Saya harap ini menjadi pengajaran kepada Mas Khan yang sebelum ini saya pernah anggap sebagai adik saya sendiri.

“Saya juga berharap ia menjadi pengajaran kepada semua orang bahawa negara kita mempunyai undang-undang.

“Sesiapa sahaja yang berbuat perkara yang menyalahi undang-undang negara pasti akan menerima hukuman, cepat ataupun lambat,” katanya kepada Gempak.

Tambah A.Aida dia tidak berdendam terhadap pelakon tersebut dan tiada masalah sekiranya Mas Khan mahu kembali bekerja di A.Aida Production.

“Sebagai orang Islam, saya tidak sesekali berdendam tetapi dalam masa yang sama, saya berharap beliau insaf kerana beliau masih muda dan punya masa depan yang panjang.

“Dan insya Allah, tidak ada masalah untuk saya mengambil beliau bekerja di bawah produksi A. Aida Production selepas ini,” ujarnya.

Bagaimanapun katanya, saman sivil terhadap Mas Khan akan tetap diteruskan selepas ini.

“Atas nasihat peguam, saya akan teruskan dengan saman sivil terhadap beliau selepas ini. Ia akan dibuat melalui lawyer yang telahpun saya lantik iaitu Zulkifli Yong Azmi & Co untuk menuntut keseluruhan jumlah yang dicuri dan juga ganti rugi teladan faedah serta kos tindakan di mahkamah,” tegasnya.

Dalam pada itu A.Aida turut memanjatkan rasa syukur dengan keputusan mahkamah dan berterima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana berjaya menyelesaikan kes tersebut.

Terdahulu, Mas Khan atau nama sebenarnya Mas Hidzir Khan Mas Fadzillah Khan mengaku bersalah mencuri wallet mata wang kripto bernilai RM213,805 milik A Aida.

Mas Khan telah dikenakan denda sebanyak RM17,000 atau penjara selama 26 bulan jika gagal untuk berbuat demikian.

Hukuman dijatuhkan Majistret Farah Nasihah Annuar selepas Mas Khan menukar pengakuan kepada bersalah.

Artikel Berkaitan: