Usai penggambaran program terbaru Astro Oasis bersama dua pengacara popular, Neelofa dan Nabil Ahmad, pendakwah bebas Ustaz Don Daniyal sempat menitipkan doa buat kedua-dua mereka.

Pesanan tersebut dimuatnaik Ustaz Don menerusi kemaskini terbarunya di laman sosial Instagram (IG).

Menerusi hantaran tersebut Ustaz Don telah mendoakan agar Nabil dilindungi daripada fitnah, bala bencana dan sentiasa diredhai Allah.

“Untuk @nabilzira my brother, saya doakan agar sentiasa dalam peliharaan Allah, dilindungi daripada fitnah, selamat daripada bala bencana, dijauhkan daripada tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab, sentiasa dalam circle yang diredhai Allah.

“Credit kepada kumpulan tabligh, Sri petaling, maulana-maulana yang banyak bagi kesan kepada sahabat saya ini. Brother, I love u,” tulisnya.

Sementara itu kepada Neelofa, Ustaz Don mendoakan agar pengacara jelita tersebut menjadi isteri solehah kepada PU Riz.

Selain itu beliau turut meminta PU Riz menjaga Neelofa dengan baik.

“Untuk @neelofa , saya doakan untuk hari mendatang, agar disatukan dalam keberkatan, dihimpunkan dengan orang baik, diberi pilihan itu pilihan yang baik.

“Semoga Neelofa menjadi isteri solehah, dan kepada PU Riz jaga perhiasan dunia yang baik yang Allah bagi ini,” katanya.

Ustaz Don berada di Studio 1 Astro, Bukit Jalil sekitar jam 1 petang tadi (Khamis) untuk penggambaran episod ketiga program NtoN Nabil To Neelofa yang bakal bersiaran Ramadan ini.

A post shared by Daniyal Biyajid (@ddaniyaldbiyajid)

Kebelakangan ini hubungan Neelofa dan PU Riz menjadi perhatian ramai termasuk pihak media apabila muncul desas-desus yang mengatakan pasangan ini bakal disatukan dalam masa terdekat.

Antara spekulasi yang timbul ialah mengenai majlis akad nikah pasangan ini yang dikatakan bakal berlangsung di sebuah hotel terkemuka berhampiran Lingkaran KLCC, pada pagi Sabtu ini.