Vokalis kumpulan Hujan Noh Salleh dan isterinya Mizz Nina berharap bulan Ramadan yang dijalani dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini memberi banyak manfaat kepada semua.

Menerusi laman sosial Facebook, Noh berkongsi nasihat dan peringatan tentang Ramadan di dalam tempoh kuarantin kepada semua.

“Bersyukur kita diberi kesempatan untuk menikmati bulan yang penuh kemuliaan, baraqah, keampunan berlipat ganda, ganjaran dan senarai kebaikannya tak putus.

“Semoga hikmah di sebalik menjalani ramadan di dalam PKP ini mendatangkan lebih banyak niqmah kebaikan dan kesedaran berbanding ramadan yang sebelumnya,” tulis Noh.

Malah, pasangan suami isteri itu percaya setiap ujian yang diturunkan oleh Allah SWT pasti akan dibalas dengan kejayaan.

“Saya mendoakan kejayaan buat kita semua, di dunia dan di akhirat, yang sedang sakit agar lekas sembuh, yang sedang menghadapi masalah agar diberi penyelesaian, yang sedang kemurungan atas sesuatu hal diberikan ketenangan.

“Semoga Ramadan tahun ini dapat mendekatkan kita semua kepada Nya dan semua ibadah kita diterima,” ujarnya lagi.

Meninjau ke ruangan komen, rata-rata wargamaya memberikan ucapan selamat berpuasa kepada pasangan bahagia ini.



Sekadar info, Noh dan Nina melangsungkan perkahwinan pada 1 Julai 2011.