Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Sempat Buat Indonesia Kecoh Kerana ‘Hilang’ Di LA, Marshanda: “Apaan Sih?”

Maliah Surip
13/07/2022 09:50 MYT
Beberapa minggu lalu, dunia hiburan Indonesia dikejutkan dengan khabar ‘kehilangan’ pelakon dan penyanyi Marshanda di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Khabar kehilangan bintang yang menghidap bipolar dan tumor payudara itu pertama kali disampaikan oleh sahabatnya, Sheila Salsabila.

Sheila mendakwa Marshanda gagal ditemukan selama dua hari sekaligus meminta bantuan termasuk Presiden Jokowi di akaun Instagramnya.

Namun, keluarga Marshanda menafikan dakwaan yang telah menjadi tajuk berita utama di republik tersebut. Bukan hilang, keluarga mendakwa Marshanda berada dalam proses healing (pemulihan) penyakitnya di sana.

Kini setelah kekecohan dan salah faham itu reda, Marshanda buat pertama kalinya memberi respons terhadap isu ‘kehilangannya’ di LA.

“Hai, jadi saya baru tahu kecoh mengenai berita saya hilang. Apaan sih?

“Itu tidak benar. Saya masih hidup dan baik baik saja. Tapi terima kasih kerana sudah bimbang dan mengambil berat tentang saya,” katanya yang mengaku terkejut dengan laporan tersebut menerusi Insta Storynya, lapor Kompas.

Dalam kenyataannya, Marshanda menegaskan keadaan dirinya saat ini sangat baik.

Sambil beberapa kali tersenyum ke arah kamera, dia berkata: "I am fine, lihat muka saya masih baik-baik saja, masih sama kan mukanya seperti Marshanda.”

Dia kemudian menitipkan pesan agar jangan mudah percaya dengan berita mengenai dirinya yang datang dari orang lain, kecuali mendapatkan kepastian daripada dirinya sendiri.

“Temubual orangnya terus jika mahu tahu khabarnya bagaimana,” katanya lagi.

#pelakon #Penyanyi #Indonesia #Amerika Syarikat #Bipolar #Hilang #USA #Marshanda
;