Peserta Big Stage 2019, Neeta Manishaa mengakui terkilan apabila tidak dapat bertemu pemain gitar terkenal, Allahyarham Aji Samin buat kali terakhir selepas mereka sama-sama terlibat dalam menghasilkan single terbaharunya.

Menurut Neeta, ketika malam kejadian, dia datang lewat 10 minit ke studio dan Aji sudah pulang kerana telah selesai melakukan rakaman.

"Neeta sebenarnya sampai lambat dalam pukul 9 malam. Abang Aji pada masa itu baru sahaja pulang sebelum saya sampai lagi.

"Sepatutnya saya boleh berjumpa dengan dia tapi masa saya datang ke studio dia dah balik dalam 10 minit macam tu.

"Kalau saya datang awal sedikit, mungkin saya sempat berjumpa dengan dia tapi siapa yang sangka dia akan pergi.

"Saya terkilan juga tidak dapat bertemu dengan dia walaupun dia ada bersama-sama dalam menghasilkan single terbaharu ini kerana seperti semua tahu saya sibuk dengan program Big Stage," katanya kepada Gempak.

Neeta berkata demikian ketika ditemui pada Sangkar Gempak Fans Screening yang diadakan di mmCineplexes @ E-Curve, Damansara, pada Khamis.

Terdahulu, Allahyarham Aji meninggal dunia akibat serangan jantung di sebuah pusat perubatan di Bukit Kemuning, Shah Alam, semalam.

Aji atau nama sebenarnya Fauzi Samin adalah antara pemain gitar tempatan berbakat besar yang kerap mengiringi persembahan penyanyi popular seperti Datuk Ramli Sarip, Ella dan ramai lagi.

Big Stage 2019 dihoskan oleh Alif Satar dan Sherry Alhadad serta dibawakan kepada anda oleh Vivo dan Perodua selaku penaja utama dan Farm Fresh selaku penaja bersama.

Penyanyi nombor satu Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza akan menggalas tugas sebagai juri tetap bersama dua bintang popular Indonesia, Judika dan Chakra Khan yang akan bergilir-gilir duduk ke kerusi juri pada setiap minggu.

Seorang juri undangan juga akan dijemput setiap minggu bagi menyertai dua orang juri tetap bagi mengadili persembahan bintang Big Stage.

Rancangan ditayangkan setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Personaliti radio ERA, Radin bersama alumni Big Stage musim pertama, Sissy Imann mengacarakan Big Stage Live Plus yang disiarkan serentak sewaktu berlangsungnya konsert mingguan di platform digital.

Layari laman web bigstage.gempak.com untuk segala informasi mengenai program ini!