Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Sering Didoa Berjodoh Semula Dengan Bekas isteri, Sharnaaz Ahmad: “Dia Masih Isteri Orang, Jaga Perasaan Suaminya”

Maliah Surip
14/04/2023 00:50 MYT
Aktor Sharnaaz Ahmad meminta para peminat atau warganet yang kerap ‘menjodohkan’ dirinya kembali bersama bekas isteri, Noor Nabila, agar lebih sensitif dan menjaga batas memandangkan wanita tersebut masih berstatus isteri orang.

Sharnaaz mengulas isu ‘jodoh’ tersebut selepas terdapat segelintir warganet terutama di aplikasi TikTok yang membuat kompilasi gambar lama mereka sewaktu masih bergelar pasangan suami dan isteri serta mesej-mesej mereka berdua.

Kata Sharnaaz, dia tidak berhak marah dengan doa baik yang telah dikirimkan banyak orang kepadanya, namun tetap mahu mengingatkan bahawa Nabila adalah isteri orang.

“Saya tidak berhak marah, malah saya ucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan saya. Benda baik, orang doa yang baik, bukan minta saya pergi mati misalnya.

“Tapi, pada masa yang sama kita harus ingat. Dia masih isteri orang. Kena jaga sensitiviti dan perasaan suaminya juga. Jadi itulah pesanan saya buat semua,” katanya sewaktu ditemui media pada majlis pelancaran filem terbaru lakonannya, Polis Evo.

Bagaimanapun, menurut bintang Polis Evo 3 yang memegang watak Reza itu lagi, sebagai duda kepada seorang anak lelaki, dia terbuka mengenai jodoh.

Namun pada usia 38 tahun, Sharnaaz mengaku malu untuk menghebahkan kisah cintanya.

“Ada, saya ada berkenalan dengan gadis, tapi bila sudah usia macam ni, rasa malu nak cerita.

“Cukuplah, saya pernah melaluinya dulu dengan pasangan sebelum ini. Sekarang ini, media boleh tanya orang yang lebih muda tentang hal sebegini (cinta),” katanya lagi.

#pelakon #Kahwin #Viral #Sharnaaz Ahmad #Noor Nabila #Duda
;