HIBURAN
Sering Viral, Fattah Amin Anggap Itu Bayaran Jadi Artis - “Saya Tak Minta Ditularkan Untuk Perkara Yang Tiada Manfaat”
Tidak dinafikan apa sahaja yang dilakukan oleh pelakon, Fattah Amin sentiasa menjadi perhatian netizen sehingga menjadi tular di media.
Enggan Jaja Kisah Peribadi Tiada Manfaat
Menurut Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, 35, jika boleh dia tidak mahu menjual kisah peribadi yang tiada manfaat buat mereka yang membaca dan berharap cerita yang disebarkan tentang dirinya hanyalah perkara positif sahaja.
“Saya kalau boleh tak nak menjual cerita peribadi yang tiada manfaat buat orang ramai.
“Tapi perhatian yang diberi tu kalau boleh dari sudut positif. Contohnya perkara tersebut boleh diambil untuk dijadikan iktibar. Tak naklah tular benda yang mengarut.
“Saya tak minta ditularkan untuk perkara tiada manfaat,” jelasnya.
Fattah berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis pelancaran dan sidang media drama bersiri Bidaah yang diadakan di Aloft, KL Sentral, Kuala Lumpur pada petang Rabu.
Bagaimanapun, Fattah tidak cepat melatah dengan perkara sebaliknya percaya apa yang dihadapinya itu sebagai harga yang perlu dibayar kerana bergelar selebriti.
Anggap Ia Bayaran Jadi Artis
“Saya rasa itu harga yang perlu dibayar apabila jadi seorang selebriti yang diberi perhatian.
“Maksudnya apa sahaja yang dibuat akan ada orang beri perhatian,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Fattah akan tampil dengan drama bersiri terbaharu berjudul Bidaah.
Selain Fattah, pelakon lain yang membintangi naskhah tersebut ialah Faizal Hussein, Riena Diana, Marisa Yasmin, Vanidah Imran, Fathia Latiff, Hasnol, Fazlina Ahmad Daud, Rahmat dan Malia Baby.
Drama sebanyak 15 episod itu akan mula ditayangkan menerusi platform penstriman Viu pada 6 Mac depan.